NORRIE berada di landasan terbaik untuk merangkul gelaran juara buat kali kedua dalam kariernya. FOTO AFP
NORRIE berada di landasan terbaik untuk merangkul gelaran juara buat kali kedua dalam kariernya. FOTO AFP
AFP

Indian Wells: Pemain Britain, Cameron Norrie menumpaskan Grigor Dimitrov 6-2, 6-4 untuk mempah perlawanan akhir Masters Indian Wells berdepan Nikoloz Basilashvili.

Pemain berusia 26 tahun itu berjaya menguasai saingan separuh akhir untuk menjadi pemain Britain pertama ke final sejak 2009.

Norrie berjaya menghalang kemaraan Dimitrov melalui servis kencang, mencatat empat aces untuk mencatat kemenangan dalam aksi yang berlangsung selama satu jam 27 minit di gelanggang utama di California Selatan.

"Saya sangat gembira. Malang sekali dia tidak bermain dengan baik hari ini.

"Saya berjaya memberi aksi meyakinkan. Saya menyerang di bahagian backhand dan dia ternyata kecewa dengan tindakan itu.

"Saya juga mampu melakukan servis dengan baik dan melakukan perkara yang sepatutnya saya lakukan," kata Norrie.

Beberapa pemain Britain berjaya mara ke perlawanan akhir di kejohanan yang diadakan di padang pasir California itu, termasuk Andy Murray sebelum tumpas kepada Rafael Nadal pada 2009.

Tim Henman tumpas dua kali di perlawanan akhir pada 2002 dan 2004, manakala pemain Britain kelahiran Kanada, Greg Rusedski muncul naib juara pada 1998.

Norrie dilahirkan di Johannesburg, Afrika Selatan dan membesar di New Zealand.

Dia menyambung pelajaran di universiti di Texas dan mula mewakili Britain sejak 2013.

Norrie memburu gelaran kedua dalam kariernya selepas muncul juara di Los Cabos awal tahun ini.

"Saya tidak sabar untuk beraksi di perlawanan akhir dan bersedia memberikan permainan terbaik serta menikmati saingan seperti ini lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 12:25 PM