PEMAIN tenis nombor satu Britain, Cameron Norrie dahagakan kejayaan selepas mara ke separuh akhir Wimbledon, awal bulan ini. FOTO REUTERS
PEMAIN tenis nombor satu Britain, Cameron Norrie dahagakan kejayaan selepas mara ke separuh akhir Wimbledon, awal bulan ini. FOTO REUTERS
Agensi

London: Cameron Norrie bersedia untuk berkorban apa saja untuk menjadi pemain tenis nombor satu dunia.

Norrie, 26, yang mara ke separuh akhir Wimbledon, baru-baru ini, kini menduduki ranking ke-11 dunia iaitu satu tangga lebih baik berbanding awal tahun.

Pemain nombor satu Britain itu kini berlatih di Perancis menjelang kejohanan di 'hard court', Terbuka Amerika Syarikat (AS), yang juga permukaan kegemarannya.

"Saya boleh meningkat dari segi fizikal, servis, pukulan balas, voli dan semua aspek dalam permainan saya. Sama masih lapar dan mahukan banyak lagi," kata Norrie kepada BBC Scotland.

"Saya akan melakukan sebanyak mungkin pengorbanan untuk memberi peluang menjadi pemain nombor satu dunia dan itulah matlamat saya.

"Sudah tentu, perjalanan masih jauh. Saya percaya memiliki tahap dan komitmen untuk mencapai peluang terbaik."

Norrie tidak pernah melepasi pusingan ketiga di acara Grand Slam sehinggalah Wimbledon pada musim panas ini, sebelum ditundukkan juara, Novak Djokovic di separuh akhir.

Terbuka AS iaitu acara utama terakhir pada musim ini akan berlangsung di New York bermula 29 Ogos.

"Saya bekerja keras mengenai perkara baharu dan meninggalkan Wimbledon dengan penuh keyakinan dan banyak pengalaman pertama," katanya.

"Ia adalah sesuatu yang menyeronokkan dan saya menikmatinya sebelum peluang terbaik di gelanggang 'hard court' di Terbuka AS nanti."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 11:39 AM