ATLET wushu negara sedang menjalani latihan dan persiapan rapi bagi menghadapi temasya Sukan Sea Kemboja 2023. FOTO Ihsan WFM
ATLET wushu negara sedang menjalani latihan dan persiapan rapi bagi menghadapi temasya Sukan Sea Kemboja 2023. FOTO Ihsan WFM
Mohd Amin Jalil


Seremban: Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) berharap atlet wushu negara dapat mengekalkan prestasi dan pencapaian terbaik dengan meraih kutipan dua pingat emas pada temasya Sukan Sea Kemboja 2023, yang dijadual pada Mei depan.

Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM), Datuk Chong Kim Fatt berkata, pihaknya yakin dan percaya pencapaian itu mampu dicapai berpandukan persiapan rapi atlet ketika ini.

Katanya, WFM dijangka akan menyenaraikan sekurang-kurangnya 12 atlet wushu untuk menggalas cabaran negara di temasya berprestij itu nanti.

"Atlet kita akan mengambil bahagian dalam 20 daripada keseluruhan 24 acara yang dipertandingkan yang menawarkan 24 pingat emas.

"Saya dapat maklum satu acara baru, Santa akan turut dipertandingkan pada kejohanan kali ini.

"Pada dasarnya kita mahu mempertahankan reputasi di Hanoi sebelum ini dengan kutipan dua pingat emas dan kita berharap atlet dapat melakukan persembahan lebih baik sekali gus mengatasi pencapaian itu di Kemboja nanti," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Kim Fatt berkata, adalah menjadi sasaran WFM untuk memastikan atlet sukan itu kekal menjadi penyumbang pingat emas untuk kontinjen negara pada setiap temasya sukan dwitahunan berkenaan.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Wushu, Tarian Singa dan Naga Negeri Sembilan (PWTSNS) berkata, pihaknya akan membuat saringan fasa pertama terhadap atlet yang berpotensi pada 28 Januari ini selepas mereka menghabiskan cuti sempena Tahun Baharu Cina.

"Tapisan terakhir atlet yang bakal dipilih ke Kemboja akan dijalankan pada Mac nanti," katanya.

Untuk rekod, kem wushu negara meraih dua emas, satu perak dan dua gangsa pada di Sukan Sea Hanoi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 9:37 PM