PAUL (kiri) dijadual menentang Fury di Arab Saudi pada tahun ini. FOTO AGENSI
PAUL (kiri) dijadual menentang Fury di Arab Saudi pada tahun ini. FOTO AGENSI
Agensi

London: Tommy Fury akhirnya diatur untuk bertarung dengan Jake Paul, tahun ini, dengan Arab Saudi melabur jutaan dollar untuk menjadi tuan rumah pertarungan itu.

Tommy yang juga adik kepada juara tinju heavyweight dunia, Tyson Fury, dijadualkan menentang YouTuber mulut celupar yang menjadi petinju itu pada Disember 2021, tetapi menarik diri akibat kecederaan.

Permusuhan Fury dan Paul tidak berakhir di situ apabila mereka sering berbalas kritikan di media sosial.

Sejak pertarungan awal itu dibatalkan, mereka terbabit dalam pertarungan lain apabila Fury menewaskan Daniel Bocianski pada April tahun lalu.

Manakala Paul pula berdepan legenda UFC, Tyron Woodley dan Anderson Silva.

Difahamkan Fury akan menentang Paul di Arab Saudi, awal tahun ini, selepas negara Timur Tengah itu melabur besar untuk menjadi tuan rumah.

Kedua-dua petinju berharap untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam karier profesional mereka.

Fury sebelum ini mendakwa dia akan menentang Paul di Manchester atau London secara percuma.

Bagaimanapun, semalam, Prince Khaled memberi bayangan awal di Instagram dengan menyatakan pertarungan itu sudah 'ditandatangani, dimeterai, dihantar', tetapi tidak menjelas dua petinju bakal berentap.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 11:12 AM