NANI pecah rekod kebangsaan berusia 33 tahun. FOTO KPT
NANI pecah rekod kebangsaan berusia 33 tahun. FOTO KPT
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Atlet lontar peluru Pahang, Nani Syahirah Maryata mempunyai misi serampang dua mata dalam kariernya bagi musim hadapan.

Bukan sahaja mahu menyasarkan untuk memecahkan rekod kebangsaan dipegangnya ketika ini, atlet berusia 21 tahun itu turut bertekad menamatkan kedudukan podium selepas layak secara merit ke Sukan Sea Kemboja tahun hadapan.

Justeru, Nani berharap mampu membuat lontaran sejauh 15 meter (m) sekaligus mencerahkan peluangnya untuk meraih pingat pada penampilan pertamanya di temasya dwi tahunan itu.

"Saya akan cuba untuk buat lontaran sejauh 15m pula selepas ini. Kalau boleh saya nak buat lontaran itu di Sukan Sea tahun hadapan.

"Sekiranya saya boleh lakukannya, mungkin saya berpeluang cerah raih perak atau gangsa pada penampilan pertama saya," katanya.

Sebelum Ini Nani mencipta sensasi apabila berjaya meleburkan rekod lontar peluru wanita kebangsaan berusia 33 tahun di Kejohanan Olahraga Grand Final Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022.

Pada kejohanan itu, Nani membuat lontaran sejauh 14.48 meter (m) untuk memadam catatan lama kebangsaan iaitu 14.41m yang dilakukan Lee Chiew Har di Kuala Lumpur pada 1989.

Kejayaan itu sekaligus menyaksikan dia turut berjaya mendapat tiket automatik ke Sukan Sea Kemboja apabila berjaya melepasi had kelayakan 12.51m.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 8:57 PM