Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Sekalipun pingat emas yang dimenangi Ziyad atlet lontar peluru negara itu dibatalkan.

Menerusi catatan di laman Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian cemerlang Ziyad memecah rekod dunia miliknya sendiri dengan lontaran sejauh 17.94 meter (m) walaupun keputusan jawatankuasa rayuan tidak memihak kepada atlet itu.

"Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar Muhammad Ziyad bersabar dengan ujian dihadapi dan tidak patah semangat serta putus asa dengan isu pembatalan kemenangan itu.

"Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar beliau terus berusaha serta kekal fokus untuk memburu kejayaan di kejohanan-kejohanan akan datang," demikian menurut catatan itu.

Menurut catatan itu, bagi Seri Paduka, Ziyad sudah memberi yang terbaik untuk diri beliau dan juga negara dan berharap semangat yang ditonjolkan oleh atlet berkenaan dapat dijadikan teladan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Selain itu, Seri Paduka turut menyeru kepada pihak berkaitan memperhalusi sebab pembatalan kemenangan Ziyad itu agar ia tidak berulang di masa hadapan.

Semalam, arena sukan dunia digemparkan dengan insiden mengejutkan di Tokyo selepas Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 m yang juga rekod dunia baharu.

Bantahan dilakukan oleh pasukan Ukraine yang mendakwa jaguh lempar peluru itu lewat melapor diri di bilik menunggu 'call room' sebelum pertandingan berlangsung.

Saingan itu menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Pingat perak juga milik atlet Ukraine, Oleksandr Yarovyi dengan catatan lontaran 17.30m manakala gangsa milik Efstratios Nikolaidis dari Greece (15.93m).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 8:36 PM