NANI Maryata tekad bangkit baiki pencapaian dalam Kejohanan Varsity Track & Field ( VTF) Grand Final pada penghujung Oktober depan di Lembah Klang. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
NANI Maryata tekad bangkit baiki pencapaian dalam Kejohanan Varsity Track & Field ( VTF) Grand Final pada penghujung Oktober depan di Lembah Klang. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
Rosman Shamsudin


Tanjung Malim: Pemegang rekod lontar peluru kebangsaan, Nani Maryata, 22, tekad untuk bangkit memperbaiki rekod acara terbabit pada Kejohanan Varsity Track & Field (VTF) Grand Final yang bakal berlangsung di Lembah Klang pada penghujung Oktober depan.

Walaupun gagal memperbaiki rekod kejohanan yang juga rekod kebangsaan dalam acara terbabit namun dia tetap menguasai acara berkenaan dengan mendapat pingat emas dalam kejohanan VTF sirkit ketiga yang berlangsung di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Nani berkata, dia hanya mempunyai masa selama sebulan bagi menjalani latihan dan meningkatkan stamina sebelum menyertai VTF Grand Final.

"Rekod kebangsaan yang dibuat oleh saya ialah pada Grand Final tahun pertama penganjuran VTF yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Oleh itu, saya bertekad mengulangi kejayaan yang sama dengan memecah rekod kebangsaan acara terbabit pada VTF Grand Final tahun ini," katanya ketika ditemui, dekat sini.

Pada kejohanan VTF Grand Final tahun lalu, dia yang mewakili kontinjen Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatat lontaran sejauh 14.48 meter (m) sekali gus memecah rekod kejohanan malah rekod kebangsaan yang menjadi milik Lee Chiew Har (14.41m) iaitu rekod berusia 33 tahun sejak tahun 1989.

Dia yang juga pelajar semester lima Ijazah Pentadbiran Perniagaan UPM berkata, dalam kejohanan VTF sirkit ketiga ini dia hanya mencatat lontaran 14.08m sahaja.

"Persiapan kurang termasuk latihan dari segi teknik dan stamina juga mempengaruhi keputusan dalam kejohanan VTF kali ini.

"Walaupun gagal membaiki rekod namun ia bukanlah penghalang untuk saya terus melakar kejayaan demi kejayaan dalam acara terbabit," katanya.

Di samping itu, anak kedua daripada dua beradik berasal dari Pahang berkata, impian dan sasaran untuk kembali pecah rekod kebangsaan tidak akan pudar untuk kejayaan peribadi dan sukan olahraga negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 6:52 PM