SUHARDI Alias dan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Sea Kemboja 2023, Datuk Mohd Nasir Ali bergambar bersama atlet yang akan ke Sukan Sea Cambodia pada Perhimpunan Atlet Fasa 1 Sukan SEA Cambodia 2023 di MSN hari ini. FOTO Bernama
SUHARDI Alias dan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Sea Kemboja 2023, Datuk Mohd Nasir Ali bergambar bersama atlet yang akan ke Sukan Sea Cambodia pada Perhimpunan Atlet Fasa 1 Sukan SEA Cambodia 2023 di MSN hari ini. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) yakin barisan atlet negara mampu mencipta keputusan lebih baik apabila beraksi di temasya Sukan Sea Kemboja Mei depan.

Keyakinan itu disuarakan Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Suhardi Alias berdasarkan kepada gerak kerja dan persediaan awal atlet dalam mengharungi temasya dwi tahunan itu sekali gus mampu membawa lebih banyak pingat emas kelak.

Beliau berkata, barisan atlet sudah pun membuat persediaan sejak Mac 2020 selain hanya menghantar individu berkualiti dan berpotensi membawa pulang pingat untuk negara.

"MSN yakin bahawa prestasi di Kemboja lebih baik berbanding di Hanoi. Keputusan mengenai sasaran akan dinilai oleh jawatankuasa sebelum diumumkan sebulan sebelum temasya itu," katanya, ketika ditemui pada Perhimpunan Atlet Fasa 1 Sukan Sea Kemboja 2023, di sini, hari ini.

Mengikut rekod, Malaysia mengakhiri saingan Sukan Sea Vietnam di tempat keenam dengan membawa pulang 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa.

Walaupun, mencapai sasaran pingat emas yang ditetapkan namun mengakhiri saingan di tempat keenam disifatkan sebagai terburuk sejak temasya itu diperkenalkan pada 1959.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin berkata inisiatif menghantar atlet bawah 23 tahun bagi memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk lebih bersedia pada penyertaan di kejohanan lebih besar pada masa akan datang.

"Jawatankuasa berpandangan perlu diberi peluang bertanding di sukan Sea pertama mereka sebab itu kita beri laluan kepada juara Sukma (Sukan Malaysia) supaya lebih bersedia mengharungi temasya sama yang akan berlangsung kelak di Thailand dan Malaysia.

"Pada masa sama, kita kena ada atlet generasi baharu supaya mereka lebih bersedia dalam usaha menyediakan barisan terbaik untuk menyertai kejohanan Olimpik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 4:09 PM