GOHILAM menunjukkan pingat emas yang dimenanginya dalam acara boling padang perseorangan wanita. FOTO Bernama
GOHILAM menunjukkan pingat emas yang dimenanginya dalam acara boling padang perseorangan wanita. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pernah terlantar akibat penyakit strok kira-kira 17 tahun lalu, atlet Selangor, N Gohilam kini boleh berbangga apabila berjaya merangkul emas pada temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2022.

Pada aksi akhir acara boling padang perseorangan wanita B7 (kecacatan kaki) di Kompleks Sukan Bukit Kiara, di sini, hari ini, atlet berusia 42 tahun itu menewaskan Salmiah Zakaria dari Negeri Sembilan 10-9 untuk muncul juara.

Nor Azian Daud juga dari Negeri Sembilan meraih pingat gangsa selepas mencatatkan kemenangan 19-7 ke atas Nur Hajar Abd Majid dari Selangor.

"Saya sangat gembira walaupun hanya menang tipis dengan perbezaan satu mata kerana ini adalah penampilan ketiga di Para Sukma, selepas edisi Pahang (2012) dan Perak (2018) yang tidak membuahkan hasil," kata Gohilam kepada Bernama, hari ini.

Berkongsi detik hitam dialaminya pada 2005, anak sulung daripada dua beradik itu berkata, dia hanya mengalami demam biasa dan tidak menyangka diserang strok secara tiba-tiba sehingga lumpuh seluruh badan.

Enggan mengaku kalah sebelum berjuang, dia berusaha menjalani pelbagai rawatan sehingga mampu kembali menjalani rutin harian, seterusnya menempatkan diri sebagai atlet Selangor pada 2012.

"Semasa kena strok itu, saya memang tidak boleh berjalan dan hanya terlantar di atas katil.

"Selepas menjalani pelbagai rawatan baru boleh kembali menjadi diri sendiri meskipun hingga kini bahagian kiri masih lemah.

"Saya ambil keputusan untuk menjadi atlet kerana tiada apa yang hendak dibuat di rumah. Bila sudah boleh berjalan saya hubungi Majlis Sukan Negara (MSN) dan mereka bantu untuk tempatkan saya dalam pasukan boling padang," katanya.

Gohilam turut mendedikasikan kemenangannya kepada ahli keluarga, barisan kejurulatihan Selangor dan semua pihak yang sentiasa memberi sokongan tanpa berbelah bahagi sejak berkecimpung dalam sukan boling padang 10 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 7:28 PM