JEANNE (tiga dari kiri) merasmikan temasya Para Sukma 2022 di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini. FOTO ihsan MSN
JEANNE (tiga dari kiri) merasmikan temasya Para Sukma 2022 di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini. FOTO ihsan MSN
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2022 membuka tirai secara rasmi, hari ini apabila berlangsungnya upacara perasmian yang diadakan secara sederhana, namun meriah.

Upacara perasmian diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil itu terdahulu dimulakan dengan perarakan masuk semua 15 kontinjen bertanding termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Tun Jeanne Abdullah diberi penghormatan untuk merasmikan temasya itu yang disertai 1,824 atlet dan pegawai.

Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan timbalannya, Datuk Seri Ti Lian Ker.

Menurut Ahmad Faizal, beliau bangga dengan pencapaian atlet kurang upaya kerana mereka adalah individu yang mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

"Menerusi Para Sukma ini dapat kita cungkil bakat baru untuk diketengahkan ke tempat lebih tinggi. Apa kita mahu pada temasya ini ialah kemunculan bakat baru dari usia 14 hingga 45 tahun.

"Saya percaya akan ada atlet muda suatu hari nanti menggantikan atlet lama yang sudah di penghujung karier.

"Kita harap sambutan sama seperti Sukan Malaysia (Sukma), orang ramai sentiasa hadir dalam acara yang begitu mengujakan.

"Saya gesa orang ramai datang beramai-ramai beri sokongan kepada atlet para kita di gelanggang di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang," katanya.

Antara sukan dipertandingkan adalah boccia, akuatik renang, badminton, catur, boling padang, memanah, olahraga, ping pong, powerlifting dan tenpin boling.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 5:45 PM