PASUKAN Dunia meraikan kejayaan memenangi Piala Laver. FOTO AFP
PASUKAN Dunia meraikan kejayaan memenangi Piala Laver. FOTO AFP
AFP

London: Frances Tiafoe mengetuai Pasukan Dunia merangkul kejuaraan Piala Laver buat kali pertama dalam kemenangan dramatik ke atas Stefanos Tsitsipas, hari ini, sekali gus menafikan trofi perpisahan untuk Roger Federer.

Tiafoe bangkit untuk menang 1-6,7-6 (13/11), 10/8 dalam kejohanan yang berlangsung di O2 Arena London itu.

Kejayaannya sudah cukup memberikan Pasukan Dunia meraih kemenangan 13-8 dengan berbaki satu perlawanan sekali gus mengesahkan kejuaraan sulung untuk mereka dalam saingan itu selepas Pasukan Eropah memenangi empat edisi sebelum ini.

Walaupun Federer yang mewakili Pasukan Eropah berharap dapat menamatkan kariernya dengan menjulang trofi itu, namun dia terpaksa akur dengan keunggulan Pasukan Dunia diketuai Tiafoe.

"Tahniah kepada Pasukan Dunia, kebangkitan semula yang menakjubkan.

"Saya tidak sabar menunggu kejohanan ini pada tahun depan. Saya akan memberi sokongan kepada kedua-dua pasukan," kata Federer mengenai kejohanan yang akan berlangsung di Kanada pada tahun depan.

Federer beraksi pada perlawanan terakhirnya Sabtu lalu apabila bergandingan dengan Rafael Nadal sebelum tewas kepada gandingan, Tiafoe dan Jack Sock dalam acara beregu.

Sementara itu Tiafoe berkata: "Saya sentiasa yakin kami mampu menang dan berasakan kejuaraan tahun ini milik Pasukan Dunia.

"Akhirnya saya sangat gembira dapat memenang trofi Piala Laver, itu sahaja yang penting ketika ini."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 10:42 AM