ATLET tinju Perak, Muhammad Abdul Qaiyum Ariffin (kiri) beraksi menentang atlet tinju Pulau Pinang, R Pavithran dan memenangi pingat emas bagi acara lelaki 46-48kg pada Sukan Malaysia 2022 di Taman Cabaran, Putrajaya, semalam. FOTO Aizuddin Saad
ATLET tinju Perak, Muhammad Abdul Qaiyum Ariffin (kiri) beraksi menentang atlet tinju Pulau Pinang, R Pavithran dan memenangi pingat emas bagi acara lelaki 46-48kg pada Sukan Malaysia 2022 di Taman Cabaran, Putrajaya, semalam. FOTO Aizuddin Saad
Affan Rostam


Putrajaya: Presiden Persekutuan Tinju Malaysia (PTM), Datuk Iruan Zulkefli memberi jaminan bahawa pemenang pingat emas dan perak Sukan Malaysia (Sukma) 2022 akan diberi peluang untuk menyertai sesi pemilihan ke skuad kebangsaan.

Iruan berkata, penyertaan atlet muda pada temasya yang sudah memasuki edisi ke-20 ini nyata memperlihatkan kesungguhan dan semangat juang yang tinggi.

"Alhamdulillah, selepas menunggu empat tahun selepas edisi sebelum ini di Perak 2018 saya berpuas hati (dengan kelancaran pertandingan). Kita boleh melihat kebangkitan atlet muda yang bersungguh-sungguh.

"Oleh itu, daripada PTM, kita akan buka ruang seluas-luasnya kepada petinju berbakat yang memenangi emas dan perak untuk dipanggil pemilihan bagi diserapkan sebagai atlet pelapis ataun senior," katanya.

Tambahnya, PTM bakal menganjurkan tiga kejohanan besar selepas ini iaitu Piala Presiden, Piala Malaysia dan Pesta Pulau Pinang sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Sea Kemboja tahun depan.

"Ada tiga kejohanan besar yang kita buat selepas ini kerana ini adalah sebagai persiapan kita untuk Sukan Sea tahun depan dan juga beberapa kejohanan luar negara.

"Paling penting adalah bakat dan kesungguhan atlet. Itu yang kita cari selama ini di mana orang selalu sebut, di mana juara Sukan Komanwel dan inilah yang kita cari untuk dibawa ke Sukan Sea dan sukan tahap tertinggi selepas ini.

"Sebenarnya, kita sudah mula (mencari pelapis baru berpotensi). Di Sukan Komanwel, kita hantar atlet muda dan akan datang kita juga akan menghantar atlet muda ini untuk pendedahan dan menjadi juara.

"Saya sedang mencari juara sebenar yang mempunyai kesungguhan, yang ada disiplin supaya senang untuk kita bentuk menjadi juara sukan tinju," katanya.

Pada edisi kali ini, sukan tinju yang berlangsung di Kompleks Futsal Malaysia Presint 18, Putrajaya menawarkan 12 pingat emas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 2:39 PM