ATLET renang Sarawak, Yao Kelly Teo memenangi pingat emas acara akhir renang kategori 800 meter gaya bebas dalam temasya Sukan Malaysia di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil. FOTO Hazreen Mohamad
ATLET renang Sarawak, Yao Kelly Teo memenangi pingat emas acara akhir renang kategori 800 meter gaya bebas dalam temasya Sukan Malaysia di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil. FOTO Hazreen Mohamad
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas meraih emas pertama Sukan Malaysia (Sukma) dalam acara 800 meter (m) gaya bebas wanita sebentar tadi, perenang muda Sarawak, Kelly Teo Yao mempunyai misi lebih besar iaitu berazam mahu lebur rekod kebangsaan yang dipegang Olimpian negara, Khoo Cai Lin.

Dalam acara berkenaan atlet berusia 16 tahun itu merangkul pingat emas menerusi catatan masa 9 minit 26.05 saat (s) di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Bagaimanapun, ia masih jauh jika dibandingkan dengan rekod kebangsaan 8:45.36s yang dilakukan Cai Lin ketika memenangi pingat perak pada temasya Sukan Sea 2009 di Vientiane, Laos.

Kelly, yang juga atlet kebangsaan, sedia untuk memberikan segala-galanya bagi merealisasikan hasrat menjadi pemegang baru rekod kebangsaan acara 800m gaya bebas wanita baharu.

"800m gaya bebas memang adalah acara kegemaran dan saya sasarkan untuk pingat emas. Saya sudah berikan yang terbaik hari ini kerana semua pencabar sangat bagus serta berikan tentangan sengit.

"Sebenarnya, catatan masa masih jauh jika dibandingkan dengan rekod kebangsaan 8:45.36s milik Cai Lin. Bagaimanapun, saya akan terus mencuba untuk merealisasikan hasrat itu (memperbaharui rekod kebangsaan)," katanya selepas tamat acara sebentar tadi.

Walaupun berjaya meraih pingat emas, atlet kelahiran Kuching itu tetap kecewa kerana gagal memperbaiki catatan peribadi terbaik (PB) 9:21.00s, namun mengakui, emas yang diraih menjadi penyuntik semangat menjelang acara 400m gaya bebas wanita esok.

"Secara jujur, saya agak tertekan hari ini kerana antara sasaran lain adalah untuk memperbaiki PB sebelum ini. Memang diakui saya agak kecewa kerana tidak dapat melakukannya," ujar Kelly.

Pingat emas Sukma pertama yang diraih Kelly pastinya mampu menjadi pembakar buatnya dalam memburu kilauan pingat pada temasya Sukan Sea 2023 yang dijadualkan berlangsung di Kemboja tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 8:36 PM