PENEMBAK negara, Haritz Iklil Hessly Hafiz.
PENEMBAK negara, Haritz Iklil Hessly Hafiz.
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Hasrat penembak negara, Haritz Iklil Hessly Hafiz untuk sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa tidak kesampaian apabila menduduki tempat keempat acara 10 meter (m) air rifle lelaki akhir di Sukan Sea Hanoi, hari ini.

Harith Iklil yang membuat kemunculan pertama di pentas Sukan Sea tampil dengan aksi cukup mendebarkan di pentas final apabila hampir meraih gangsa sebelum menamatkan saingan di tempat keempat dengan 203.2 mata.

Emas menjadi milik penembak Indonesia, Fathur Gustafian selepas mengekalkan aksi konsisten di Lapangan Menembak Phuong Chnh, Nam dengan keputusan 247.4 mata.

Perak menjadi milik penembak Singapura, Lionel Wong 246.5 dan gangsa turut dimenangi seorang lagi penembak Indonesia, Duncan Paragra dengan 226.2 mata.

"Saya agak bangga dengan keputusan ini kerana dapat akhiri saingan di tempat keempat. Tetapi agak kecewa kerana saya mampu lakukan lebih baik pada aksi final.

"Tetapi saya telah lakukan terbaik dan berharap dapat buat lebih sempurna pada aksi seterusnya," katanya sejurus tamat perlawanan.

Dalam pada itu, Haritz Iklil tekad untuk bangkit menjelang acara 10m air rifle campuran yang berlangsung esok.

"Saya harap mampu lakukan lebih baik esok dalam acara seterusnya. Ini adalah permulaan terbaik dan saya harap keputusan ini dapat membantu saya dalam acara campuran nanti," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 7:35 PM