BARISAN skuad bola jaring negara yang mengibarkan cabaran di Kejohanan Bola Jaring Asia 2022. -FOTO Facebook Bola Jaring Malaysia
BARISAN skuad bola jaring negara yang mengibarkan cabaran di Kejohanan Bola Jaring Asia 2022. -FOTO Facebook Bola Jaring Malaysia
Oleh Affan Rostam


Kuala Lumpur: Skuad bola jaring negara kini berada di landasan tepat bagi memburu gelaran juara Asia apabila mereka berjaya memperagakan aksi cemerlang dalam dua perlawanan peringkat kumpulan Kejohanan Bola Jaring Asia 2022 yang berlangsung di Singapura.

Perlawanan pertama menyaksikan skuad bimbingan Lisa Beehag itu tidak berdepan masalah untuk menewaskan Brunei, 78-22 sebelum meneruskan momentum kemenangan dalam perlawanan seterusnya menentang Taiwan (82-25).

Dua kemenangan berturut-turut itu membolehkan skuad negara mara ke pusingan kedua yang akan menggunakan format liga sepusingan (round robin) untuk bertemu juara setiap kumpulan iaitu Sri Lanka, Singapura dan Hong Kong.

Kapten negara, Nur Syafazliyana Mohd Ali berkata, dia dan seluruh ahli pasukan berjaya menyesuaikan diri dengan baik ketika perlawanan peringkat kumpulan dan menegaskan sudah bersedia menghadapi perlawanan seterusnya.

"Dalam peringkat kumpulan Kami menggunakan pelbagai strategi dan juga memantapkan lagi pemahaman tentang perancangan yang akan digunakan pada setiap perlawanan.

"Hari ini kami akan bermain dalam peringkat kedua di mana juara setiap kumpulan (Malaysia, Sri Lanka, Singapura dan Hong Kong) diletakkan sekali untuk bermain secara round robin bagi merebut slot ke separuh akhir dan seterusnya ke final.

"Memang kami dah bersedia untuk perlawanan seterusnya. Bagi saya semua pasukan ada kekuatan yang berbeza," katanya kepada Arena Metro.

Skuad negara dijadual bertemu juara kumpulan A iaitu Sri Lanka pada jam 5 petang ini.

Perlawanan seterusnya yang akan berlangsung esok membabitkan pertemuan dengan juara Kumpulan D, Hong Kong sebelum melengkapkan saingan peringkat kedua bertemu juara kumpulan B, Singapura pada lusa.

Untuk rekod, Malaysia pernah memenangi kejohanan ini sebanyak dua kali iaitu pada edisi 1985 di Kuala Lumpur dan 2016 di Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 1:46 PM