AKSI skuad bola jaring Malaysia menentang Singapura. FOTO FB Team Malaysia
AKSI skuad bola jaring Malaysia menentang Singapura. FOTO FB Team Malaysia
BERNAMA

Kuala Lumpur: Impian skuad bola jaring kebangsaan untuk beraksi pada Piala Dunia 2023 tidak kesampaian apabila kecundang di tangan Singapura 41-54 dalam aksi separuh akhir Kejohanan Bola Jaring Asia 2022 di OCBC Arena, Singapura, hari ini.

Dalam aksi separuh akhir petang tadi, pasukan tuan rumah menampilkan aksi bertenaga dan terus memberi asakan sejak awal permainan dengan mendahului Malaysia 36-33 pada suku ketiga.

Skuad negara yang cuba bangkit daripada ketinggalan pada suku terakhir, bagaimanapun terpaksa akur dengan kehebatan pasukan lawan apabila menamatkan cabaran dengan 41-54.

Malaysia akan meneruskan cabaran dalam perebutan tempat ketiga berdepan Hong Kong yang tumpas 43-67 kepada Sri Lanka.

Dua pasukan yang mara ke pentas final pada kejohanan ini akan mendapat slot automatik ke Piala Dunia 2023 di Cape Town, Afrika Selatan dari 28 Julai hingga 6 Ogos depan.

Untuk rekod, skuad negara pernah mencipta sejarah muncul juara Asia buat kali pertama ketika di Thailand pada 2016, manakala kali terakhir skuad negara beraksi di pentas Piala Dunia adalah pada edisi 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 10:07 PM