SKUAD remaja negara mahu tebus duka dua tahun lalu.
SKUAD remaja negara mahu tebus duka dua tahun lalu.

Kuala Lumpur: Skuad bola jaring remaja negara kini sudah bersedia untuk menebus kegagalan dua tahun lalu tewas kepada Sri Lanka pada perlawanan akhir apabila turun beraksi di Kejohanan Bola Jaring Remaja Asia di Jeonju Korea pada 6 hingga 13 Mei ini.

Membariskan 12 pemain remaja terbaik yang mula disatukan sebagai satu pasukan sejak dua tahun lalu, Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia Datuk Suraya Yaacob yakin barisan pemainnya kini sudah bersedia mengharung segala cabaran.

Suraya berkata, beliau amat positif dan yakin akan kemampuan skuad bimbingan Norizan Rajab untuk mara sehingga ke perlawanan akhir biarpun diletakkan dalam kumpulan B bersama musuh tradisi Singapura.

“Mereka mampu mara hingga ke final. Singapura bukan satu halangan besar buat negara kerana barisan pemain remaja mereka tidak sekuat pemain senior.

“Kejohanan Remaja Asia ini adalah kali kedua buat skuad remaja negara yang dalam lingkungan usia 16 hingga 21 tahun dan saya percaya mereka sudah mempunyai pengalaman luas serta menunjukkan peningkatan cukup baik termasuk keupayaan fizikal mantap,” katanya.

Selain itu empat pemain negara terdiri daripada An Najwa Azizan, Noor Azilah Aziz, L Karishma dan Khairunnisa Nazri turut memperkuatkan skuad negara yang akan beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos ini.

Untuk rekod Malaysia berjaya menjadi juara lima tahun berturut-turut bermula pada 2004 hingga 2013 sebelum impian negara melakarkan kejuaraan kali keenam itu diranapkan Sri Lanka dua tahun lalu.

Bagaimanapun kejayaan muncul naib juara di kejohanan dwi tahunan itu sudah cukup buat skuad negara melayakkan diri ke Kejohanan Remaja Dunia di Botswana Julai ini.

Malaysia diundi dalam kumpulan B bersama-sama Singapura, Taiwan, India dan Korea.

Manakala kumpulan A terdiri daripada Sri Lanka, Hong Kong, Thailand, Maldives dan Pakistan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 1:39 PM