NORZA (tengah) bersama skuad bola jaring kebangsaan.
NORZA (tengah) bersama skuad bola jaring kebangsaan.
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Skuad bola jaring kebangsaan dalam misi memburu gelaran juara di Kejohanan Bola Jaring Asia 2022 di Singapura pada 3 hingga 11 September depan.

Sekiranya berjaya, skuad kebangsaan secara automatik akan mengesahkan penyertaan mereka dalam Kejohanan Bola Jaring Dunia di Afrika Selatan pada tahun hadapan.

Harapan untuk menyaksikan skuad kebangsaan beraksi di pentas tertinggi itu turut dizahirkan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Bola Jaring Kebangsaan di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.

Beliau menegaskan pembabitan skuad kebangsaan dalam kejohanan di peringkat antarabangsa mampu meningkatkan taraf sukan bola jaring di Malaysia khususnya.

"Saya berharap pasukan bola jaring akan mencuba sedaya upaya bagi mendapatkan dua tempat teratas supaya layak ke Kejohanan Bola Jaring Dunia di Afrika Selatan.

"Apa yang mereka lakukan ini akan menaikkan taraf dan imej sukan bola jaring di negara kita.

"Saya percaya bola jaring adalah satu daripada wadah sukan bagi golongan wanita yang kita harus mempertingkatkan dan mempergiatkan lagi promosi permainan ini serta memberi sokongan kepada Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM)," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan sedaya upaya membantu skuad kebangsaan berada pada tahap terbaik sekiranya mereka layak untuk meneruskan saingan di Kejohanan Bola Jaring Dunia pada tahun hadapan.

"Tentu saja sokongan diperlukan untuk mereka meningkatkan prestasi dan menuju kepada posisi lebih baik lagi.

"Sekiranya mereka berjaya melayakkan diri ke Kejohanan Dunia, kami akan panjangkan kepada kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan mungkin daripada sektor swasta untuk membantu mempersiapkan pasukan bola jaring kita," katanya.

Selain Malaysia, 10 lagi negara yang akan mengambil bahagian dalam kejohanan kali ini adalah Brunei, Chinese Taipei, Hong Kong, India, Jepun, Maldives, Singapura, Sri Lanka, Filipina dan Thailand.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia muncul juara dalam Kejohanan Bola Jaring Asia adalah pada 2016 yang berlangsung di Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 9:07 PM