PASUKAN veteran UiTM Melaka bergambar sebelum aksi final KARISTA.
PASUKAN veteran UiTM Melaka bergambar sebelum aksi final KARISTA.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pasukan bola sepak veteran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka muncul juara bola sepak Karnival Sukan Staf UiTM Malaysia (KARISTA) 2017 yang berlangsung lima hari di Kampus UiTM Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Di final UiTM, Melaka menewaskan juara bertahan UiTM Shah Alam 3-2 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada waktu sebenar permainan.

Sebelum itu, pada aksi separuh akhir UiTM, Melaka menundukkan UiTM Perak 3-1 manakala UiTM Shah Alam mengecewakan naib juara tahun lalu, UiTM Terengganu 4-1.

Pengurus UiTM Melaka Neemat Zakaria berkata, saingan di final amat sengit terutama apabila mereka ketinggalan 0-2 namun berjaya bangkit mengatasi lawan 3-2 sebelum tuan rumah menyamakan kedudukan pada minit akhir untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti.

Katanya, komitmen dan kerjasama mantap pemain serta pengurusan tertinggi universiti membolehkan mereka sekali lagi ke final selepas berbuat demikian pada 2014 dan 2015.

“Kami juga menyasarkan mempertahankan kejuaraan apabila kejohanan bakal berlangsung di UiTM Kedah tahun depan walaupun bukan mudah untuk dilaksanakan.

“Sehubungan itu, kami akan merencana strategi terbaik untuk memastikan kejuaraan terus menjadi milik UiTMMelaka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 10:32 AM