Atlet lompat jauh negara, Andre Anuar. FOTO File NSTP
Atlet lompat jauh negara, Andre Anuar. FOTO File NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Selepas sembilan bulan tanpa pertandingan, barisan atlet olahraga menunjukkan peningkatan memberangsangkan dan memberi bayangan kilauan emas mampu dihasilkan pada temasya Sukan Sea Vietnam tahun depan.

Paling mencuri tumpuan adalah pemenang pingat emas baling tukul besi wanita Sukan Sea 2017, Grace Wong dan Andre Anuar dalam acara lompat jauh.

Grance yang juga pemenang pingat emas Sukan Sea Kuala Lumpur itu berjaya memecahkan rekod kebangsaan 60.99 meter (m) miliknya dengan balingan 62.69 m pada sesi ujian latihan yang dijalankan secara tertutup di Bukit Jalil.

Namun menurut Ketua Jurulatih Olahraga, Mohd Manshahar Abdul Jalil ia tidak dikira sebagai catatan rasmi memandangkan ia hanya sesi ujian.

Kata Manshahar, selain Grace, Andre turut memberi bayangan awal bahawa dia mampu mencabar pingat emas di Sukan Sea nanti apabila berjaya melakukan lompatan 7.93m kurang 0.09m daripada rekod kebangsaan miliknya, 8.02m.

"Tujuan sesi ujian ini adalah untuk melihat prestasi terkini atlet dan beberapa keputusan yang dihasilkan pada sesi ujian itu sangat memberangsangkan.

Grace antara altet paling terbaik apabila balingannya itu adalah catatan untuk emas di Sukan Sea.

"Secara keseluruhannya saya amat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan dengan kebanyakan atlet begitu teruja beraksi. Mungkin selepas sekian lama tidak beraksi peluang sebegini amat dinantikan mereka," katanya.

Turut mencuri tumpuan adalah pemenang pingat emas lompat tinggi wanita di Sukan Sea Filipina, Yap Sean Yee yang mengulangi pencapaiannya, 1.81m dan atlet baling tukul besi lelaki, Jackie Wong.

Jackie berjaya mengekalkan prestasi apabila melepasi balingan 60m dan itu satu petanda yang baik selepas pulih daripada Covid-19.

Mengulas mengenai pertandingan Terbuka Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 13 Disember ini, Manshahar berkata, ketika ini ia masih akan berlangsung mengikut jadual yang dirancangkan.

Namun ia bergantung kepada situasi semasa pandemik Covid-19 dan arahan yang pihak berwajib.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2020 @ 8:05 PM