AFIQ menjalani latihan di Pusat kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan. FOTO/OSMAN ADNAN
AFIQ menjalani latihan di Pusat kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan. FOTO/OSMAN ADNAN
Haika Khazi


PELUMBA basikal negara, Muhammad Afiq Afify Rizan (Afify) dan jurumudinya, Muhammad Khairul Adha Rasol, menyasarkan untuk menang jersi putih sambil memecahkan rekod Sukan Asia dalam acara satu kilometer (1KM) ujian masa tandem (B) lelaki di Kejohanan Lumba Basikal Para Asia (ACC) 2018 di Velodrom Nasional Nilai, bulan depan.

Bagi Afify dan Khairul Adha, misi utama penyertaan mereka ke ACC 2018 ialah memecahkan rekod Sukan Asia dalam acara 1KM yang kini dipegang oleh pelumba Jepun, Tatsuyuki Oshiro/Yasufumi Ito (1:04.266s) yang dicatat pada Sukan Paralimpik London 2012.

Justeru, Afify dan Khairul Adha amat gembira kerana diberi peluang untuk menyertai acara kegemaran mereka iaitu pecut 200 meter dan acara 1KM pada ACC 2018 nanti.

“Saya menganggap penyertaan kali ini penting kerana membolehkan kami meneruskan misi memecahkan rekod Sukan Asia yang tersekat selepas catatan masa 1 minit 4.236 saat dibuat di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL 2017), tidak diiktiraf Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

“Bagaimanapun, bagi saya misi ini bukan satu perkara mudah kerana peserta lain terutama dari Jepun dan Korea Selatan pastinya akan memberikan saingan sengit kepada kami nanti,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Nama Afify dan Khairul Adha mula meniti dibibir peminat berbasikal negara selepas mereka meraih gangsa Kejohanan Berbasikal Para Dunia 2017 dan diikuti dua emas dalam acara 1KM serta pecut 200m di Sukan Para ASEAN 2017, Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Afify yang berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan, menegaskan kemenangan di ACC 2018 penting dan mampu menjadi pembakar semangat kepada meraka untuk meraih kejayaan lebih besar di Kejohanan Berbasikal Para Dunia di Brazil (Mac) dan Sukan Komanwel 2018 (April).

Tambahan pula, Afify dan Khairul Adha turut mensasarkan untuk menang sekurang-kurangnya pingat gangsa di Kejohanan Berbasikal Para Dunia, Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018 dalam acara basikal tandem 1KM ujian B lelaki di Sukan Komanwel 2018 nanti.

“Saya berharap kemenangan di ACC 2018 dan kejohanan dunia nanti dapat membantu saya mengumpul sebanyak mungkin mata untuk melayakkan diri ke Sukan Asia Jakarta 2018 dan Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 8:46 PM