Cameron Norrie dari Britain bersama trofi yang dimenangi. FOTO AFP
Cameron Norrie dari Britain bersama trofi yang dimenangi. FOTO AFP
AFP

Indian Wells: Aksi cemerlang dipamerkan Cameron Norrie membuahkan hasil di California dengan kemenangan 3-6, 6-4, 6-1 ke atas Nikoloz Basilashvili sekali gus menjadi pemain pertama Britain memenangi kejuaraan ATP Indian Wells.

Norrie bangkit dari ketinggalan di set pertama untuk melakar pencapaian terbaik karier dengan kemenangan ke-47 musim ini dan yang pertama dari Great Britain menjulang trofi berkenaan, mengatasi pencapaian bekas finalis Andy Murray, Tim Henman dan Greg Rusedski yang gagal melakukannya.

Ini adalah kejuaraan kedua Norrie daripada enam final ATP musim ini selepas memenangi kejuaraan pertama pada awal tahun ini di Los Cabos.

Kejayaan itu turut membantunya melonjak dalam ranking kelompok 20 teratas dunia buat pertama kali dalam kariernya dan mengatasi Daniel Evans untuk menjadi pemain nombor satu British.

"Saya sangat gembira, ini adalah kejuaraan terbesar saya," kata Norrie.

"Ia adalah minggu yang menakjubkan. Saya menjangkakan perlawanan yang panjang namun lawan melakukan beberapa kesilapan pada penghujung aksi seterusnya membolehkan saya memenangi saingan."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 12:20 PM