IRWANDIE perkasa cabaran TSG.
IRWANDIE perkasa cabaran TSG.
BERNAMA

Kuala Terengganu: Pasukan berbasikal bertaraf benua, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) mempertaruhkan sembilan pelumba ke tiga perlumbaan Jelajah Turkiye yang bermula esok.

Pengurus pasukan TSG Mohd Saiful Anuar Aziz berkata barisan pelumba berlepas ke Turkiye Isnin lepas, terdiri daripada lima pelumba tempatan termasuk pelumba pelapis dan empat pelumba import.

Lima pelumba tempatan TSG ialah Wan Abdul Rahman Hamdan; Irwandie Lakasek; Muhammad Afiq Huznie Othman; Mohd Shahrul Mat Amin dan pelumba muda dari TSG Academy Zuladri Amin Zulkurnain.

Sementara pelumba import pula Youcef Reguigui; Metkel Eyob; Jeroen Meijers dan Anatoliy Budyak dari Ukraine yang pakar dalam pendakian.

"Tiga perlumbaan tersebut iaitu Grand Prix Erciyes, Grand Prix Kayseri dan Grand Prix Yahyali akan menjadi medan untuk kita mengumpul seberapa banyak mata bagi mempertahankan status pasukan terbaik Asia yang kita menangi musim lepas..

"Kita akan jalani dua perlumbaan secara berturut-turut yang mencabar iaitu Grand Prix Erciyes dan Kayseri pada 23 dan 24 Julai manakala Grand Prix Yahyali pada 31 Julai," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Mohd Saiful Anuar, untuk perlumbaan di Turkiye kali ini, TSG yakin mampu memenuhi sasaran dua podium daripada tiga perlumbaan berdasarkan pencapaian serta analisis rekod perlumbaan di negara itu sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui ia bukan cabaran mudah kerana terpaksa bersaing dengan pencabar terdekat dari Kazakhstan, Almaty Cycling Team yang berusaha untuk merapatkan jurang kedudukan semasa.

"Setakat ini TSG masih di kedudukan teratas Jelajah Asia dengan 863.75 mata perlumbaan manakala pencabar kita Almaty Cycling Team di tangga kedua dengan 305.25 mata.

"Kita akan berusaha sebaik mungkin untuk meraih kemenangan dan melebarkan lagi jurang mata dengan pasukan pencabar lain," katanya yang akan terus berkampung di Turkiye bagi menjalani kem latihan beraltitud tinggi sebagai persediaan ke jelajah Le Tour De Langkawi (LTDL) pada Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 6:02 PM