Ketua Pegawai Operasi TSG, Wan Nasiruddin Wan Idrus optimis TSG mampu kekal penguasaan nombor satu Asia. FOTO Malik Muhamad
Ketua Pegawai Operasi TSG, Wan Nasiruddin Wan Idrus optimis TSG mampu kekal penguasaan nombor satu Asia. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pasukan berstatus benua Asia, Terengganu Cycling Team (TSG) kini berada pada landasan terbaik untuk meneruskan penguasaan di tempat pertama ranking Asia dalam Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) musim ini apabila bakal beraksi dalam enam kejohanan berprestij di Turki bermula 3 Julai depan.

Pasukan yang berpangkalan di Terengganu berusia 10 tahun itu juga dilihat berpeluang cerah untuk memperbaiki kedudukan terkini di ranking ke-32 dunia jika berjaya melakukan kejutan di bumi Turki dalam kejohanan berstatus 1.2 itu.

TSG yang cemerlang pada awal musim dalam tujuh perlumbaan berprestij siri Jelajah Eropah dan Afrika, kini mengungguli carta dengan mengutip 500 mata jauh meninggalkan pasukan di kedudukan kedua, Vino Astana Motors dari Kazakhstan yang mengutip 209 mata.

Bagi memastikan impian itu tercapai, TSG mempertaruhkan lapan pelumba handalannya dalam misi untuk mempertahankan kedudukan nombor satu Asia musim ini.

Selain Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff yang berpengalaman berlumba di Turki dan pernah bergelar Raja Bukit Jelajah Rwanda pada Mei lalu, turut menggalas cabaran pasukan TSG dalam kejohanan itu dua lagi rakan senegerinya iaitu Mohd Shahrul Mat Amin dan Muhamad Afiq Huznie Othman bakal membuat penampilan sulung di negara berkenaan.

Pelumba import dari Russia, Artem Ovechkin, Metkel Eyob (Eriteria), Youcef Reguigui (Algeria), Joroen Meijers (Belanda) dan pelumba dari Mongolia, Jambaljamts Saibayar turut menyarung jersi TSG dalam enam siri perlumbaan itu bagi mengutip semaksimun mata.

Ketua Pegawai Operasi TSG, Wan Nasiruddin Wan Idrus berkata, enam jelajah perlumbaan di Turki itu yang diketuai pengurus pasukan, Wan Mohd Nazri Wan Ahmad dimulai dengan perlumbaan Germenica Grand Prix Road Race pada (3 Julai) diikuti Kahramanmaras Grand Prix Road Race (4 Julai), Grand Prix Erciyes Mimar Sinan (10 Julai), Grand Prix Kayseri (11 Julai), Grand Prix Velo Erciyes (17 Julai) dan Grand Prix Develi (18 Julai).

"Kali kedua musim ini pasukan TSG akan berangkat ke Turki untuk menyertai enam kejohanan sepanjang berada di sana yang dijangka cukup mencabar buat pelumba TSG kerana kejohanan itu banyak melalui kawasan pendakian berbukit beraltitud 2,000 meter ke atas dari paras laut.

"Jadi kami membuat keputusan untuk menghantar beberapa pelumba yang diyakini mampu mendaki berdasarkan prestasi mereka manakala pelumba pecut mereka bakal bersaing kejohanan di Thailand yang dijangka berlangsung pada September depan.

"Memandangkan laluan yang disediakan pihak penganjur pada kali ini begitu mencabar, kita akan berlepas pada 25 Jun ini sebagai persediaan awal dan latihan di sana kerana sasaran kita untuk memburu sekurang-kurangnya dua podium menerusi enam siri perlumbaan yang bakal disertai dengan juga mengambil kira pelumba tempatan yang bakal bersaing sudah hampir sebulan tidak menjalani latihan di luar kediaman bagi mematuhi arahan dikeluarkan pihak kerajaan untuk membendung penularan wabak pandemik Covid-19.

"Kita juga yakin dengan perancangan yang bijaksana oleh pihak pengurusan pasukan, TSG mampu berada di divisyen kedua pada masa akan datang berbanding divisyen ketiga continental sekarang, namun ianya perlu kerjasama dan usaha keras semua bagi memastikan misi itu tercapai," katanya.

Beliau turut mengharapkan TSG mampu merangkul lebih banyak podium sebagaimana ketika kejohanan di Turki pada Februari apabila berjaya meraih empat podium berbanding sasaran awal tiga podium.

Berdasarkan kedudukan terkini ranking Asia, dua lagi pasukan negara iaitu Sweet Nice Continental (SNC) kini berada di kedudukan ke-12 carta dengan mengutip 35 mata manakala satu lagi wakil negara, Team Sapura Cycling (TSC) menghuni di tangga ke-15 dengan hanya mengumpul 10 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 10:58 PM