ATLET AS, Sydney McLaughlin (kanan) memenangi perlumbaan separuh akhir acara 400m lari berpagar wanita, hari ini dan layak ke final. FOTO REUTERS
ATLET AS, Sydney McLaughlin (kanan) memenangi perlumbaan separuh akhir acara 400m lari berpagar wanita, hari ini dan layak ke final. FOTO REUTERS
Reuters

Eugene: Pemegang rekod dunia, Sydney McLaughlin akan bersaing dengan musuh utama dan rakan senegara Amerika Syarikat (AS), Dalilah Muhammad, selepas mencatatkan masa terpantas di separuh akhir acara 400 meter (m) lari berpagar wanita di Kejohanan Olahraga Dunia, hari ini.

Sydney memecahkan rekod dunia milik Dalilah dan menamatkan penguasaannya untuk mempertahankan gelaran Olimpik di Tokyo 2020, tahun lalu, dan mereka akan bertarung sekali lagi di final, esok.

Di perlumbaan separuh akhir hari ini, atlet berusia 22 tahun itu berada di depan sebelum memperlahankan larian di laluan lulus untuk menang dengan catatan 52.17 saat (s), mengatasi Gianna Woodruff dari Panama.

Penyokong sudah pasti mengharapkan Sydney sekali lagi mencipta keajaiban di Hayward Field iaitu trek yang menyaksikan dia memecahkan rekod dunia sebanyak dua kali dan seolah-olah melakukan sesuatu yang luar biasa itu sebagai rutinnya.

"Saya fikir ia adalah hari yang baik untuk lebih pantas. Saya perlu mengetepikan kebimbangan dan bersedia untuk perlumbaan pada Jumaat ini," kata Sydney.

"Saya hanya mahu bebas, memberikan apa yang ada dan melakukan segala-galanya di trek."

Dalilah pula bermula agak perlahan berbanding pencabarnya, tetapi berada beberapa meter di depan pada pagar kesembilan dan memenangi perlumbaan dengan catatan 53.28s.

"Saya rasa bagus, dalam kawalan. Saya fikir hanya perlu berlari dengan lebih pantas," katanya kepada media.

Dua lagi pelari AS, Shamier Little dan Britton Wilson turut mara ke final.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 11:05 AM