SYDNEY menunjukkan catatan rekod baru 51.41s yang dilakukannya di Hayward Field. FOTO AFP
SYDNEY menunjukkan catatan rekod baru 51.41s yang dilakukannya di Hayward Field. FOTO AFP
AFP

Eugene: Sydney McLaughlin mengesahkan tiket ke Kejohanan Dunia dengan penuh bergaya apabila mencatat rekod dunia 51.41 saat (s) ketika muncul juara dalam acara lari berpagar 400 meter (m) wanita di saingan ujian balapan dan padang Amerika Syarikat (AS).

Dia berjaya memecahkan rekod dunia 51.46 miliknya sendiri ketika memenangi emas di Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu, selepas mendominasi saingan yang menyaksikan naib juara, Britton Wilson melepasi garisan penamat dengan catatan 53.08s.

Shamier Little menduduki tempat ketiga dengan catatan 53.92s, untuk melengkapkan tiga pelari yang bakal mewakili AS di balapan sama, Hayward Field bulan depan bagi Kejohanan Dunia yang turut disertai penyandang juara, Dalilah Muhammad.

"Setiap kali saya datang ke sini, saya dapat rasakan ada sesuatu yang luar biasa akan berlaku," kata Sydney.

Dia tidak banyak memberi komen mengenai rekod dunia yang dipecahkannya tapi mengakui akan melakukannya lagi bulan depan.

"Ini hanyalah penunjuk yang bagus di mana kita berada. Mudah-mudahan kami akan pulang menyelesaikan beberapa perkara untuk kembali dan memperbaikinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 10:01 AM