DALILAH Muhammad bercakap kepada media sebelum Kejohanan Trek dan Padang Amerika Syarikat di Hayward Field , Eugene, Oregon. FOTO AFP
DALILAH Muhammad bercakap kepada media sebelum Kejohanan Trek dan Padang Amerika Syarikat di Hayward Field , Eugene, Oregon. FOTO AFP
AFP

Eugene, Amerika Syarikat: Juara dunia acara 400 meter (m) lari berpagar wanita yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Dalilah Muhammad tidak akan menyertai sesi pemilihan Amerika Syarikat (AS) kerana masalah hamstring.

Dia berharap dapat pulih tepat pada masanya untuk mempertahankan gelaran itu dan sebagai juara bertahan, Dalilah mendapat bye bagi acara di Kejohanan Dunia di Eugene, Oregon, pada Julai depan.

Biasanya, prosedur kelayakan bagi AS memerlukan dia berlari sekurang-kurangnya satu saringan dalam satu acara di sesi pemilihan untuk mendapat bye, tetapi dia diberi pelepasan untuk tidak menyertai kejohanan bermula esok.

"Tidak berbaloi jika saya memaksa diri," kata Dalilah pada sidang media menjelang kejohanan itu, hari ini.

"Saya mengalami ketegangan di bahagian otot paha kanan," katanya mengenai kecederaan dialami sejak kira-kira dua minggu lalu.

Dalilah sebelum ini dijangka berentap dengan seteru utamanya, Sydney McLaughlin yang memecahkan rekod dunia dengan catatan 51.46 saat untuk memenangi pingat emas dan menewaskan Dalilah di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dalilah mencatatkan masa kedua terpantas dalam sejarah ketika menang perak di perlumbaan itu, tetapi dia kini tidak berlumba sejak 21 Mei selepas menarik diri daripada perlumbaan pada 12 Jun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 9:22 AM