SYDNEY (tengah) menewaskan Dalilah dalam acara 400m berpagar wanita. FOTO AFP
SYDNEY (tengah) menewaskan Dalilah dalam acara 400m berpagar wanita. FOTO AFP
AFP

Eugene, Amerika Syarikat: Sydney McLaughlin mencipta rekod baharu dunia acara 400 meter berpagar wanita dengan catatan 51.90 saat selepas bertarung sengit dengan Dalilah Muhammad di kejohanan ujian Olimpik Amerika Syarikat semalam.

Bintang berusia 21 tahun itu muncul pelari pertama wanita mencatat di bawah 52 saat selepas mempamerkan taktikal larian yang hebat ketika dicabar juara Olimpik dan juara dunia, Dalilah.

Dalilah yang memegang rekod sebelum ini dengan catatan 52.16s ketika menewaskan Sydney di Kejohanan Dunia di Doha menduduki tempat kedua dengan masa 52.42s manakala Anna Cockrell ketiga dengan masa 53.70s.

Persaingan Sydney dan Dalilah seperti dijangka mendebarkan penonton dengan kedua-duanya mendominasi acara 400m berpagar sejak beberapa musim lalu.

Perlumbaan di Hayward Field itu berlangsung selepas ditunda beberapa jam susulan cuaca panas melampau menyebabkan beberapa acara akhir ditunda ke sebelah malam.

Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan persaingan hebat Sydney dan Dalilah yang pantas meninggalkan pencabar lain.

Dalilah yang persiapan pra musimnya terjejas akibat dijangkiti Covid-19 awal tahun ini gagal mengekalkan mometum memasuki selekoh terakhir dan dipintas Sydney yang meluru laju untuk mencatat rekod baharu dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 1:29 PM