REAKSI Vernon selepas menjuarai peringkat pertama Jelajah Romandie.
REAKSI Vernon selepas menjuarai peringkat pertama Jelajah Romandie.
Agensi

London: Pelumba Britain Ethan Vernon memenangi peringkat pertama Jelajah Romandie semalam selepas Mark Cavendish dan Simon Yates kedua-duanya menarik diri akibat masalah kesihatan.

Pelumba Soudal Quick-Step Vernon, 22, memecut laju daripada kelompok besar di Vallee de Joux, Switzerland untuk muncul juara sekali gus pendahulu perlumbaan manakala pelumba Jayco-Alula, Yates yang muncul pelumba pilihan untuk gelaran keseluruhan menarik diri akibat masalah perut.

Pelumba Astana Cavendish pula menarik diri ketika perlumbaan berbaki 60km selepas mengadu tidak sihat.

Kemenangan itu yang kedua buat Vernon di Jelajah Dunia selepas menjuarai peringkat kelima Volta a Catalunya tahun lalu.

Dia merampas jersi kuning pendahulu daripada rakan sepasukan Josef Cerny yang memenangi ujian masa individu 6.8km kelmarin.

"Ia sangat istimewa," kata Vernon yang membantu kuartet pecut berpasukan Britain muncul juara Kejohanan Trek Berbasikal Dunia 2022.

"Saya mengambil alih jersi daripada rakan sepasukan, jadi kami akan menyimpannya sehari lagi dan kami berusaha dalam saingan klasifikasi umum.

"Saya tak pasti dapat menyimpannya. Esok dijangka sukar tetapi apa sahaja boleh berlaku, jadi kita tunggu sahaja."

Peringkat kedua sejauh 162.7km bermula dari Morteau menuju Chaux-de-Fonds.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 12:10 PM