Presiden Jawatankuasa Penganjur Olimpik Tokyo, Seiko Hashimoto pada sidang media di Perkampungan Olimpik. FOTO Agensi
Presiden Jawatankuasa Penganjur Olimpik Tokyo, Seiko Hashimoto pada sidang media di Perkampungan Olimpik. FOTO Agensi
AFP

Tokyo: Penganjur Olimpik Tokyo mendedahkan kes pertama Covid-19 dikesan di Perkampungan Sukan Olimpik, hari ini ketika mereka berusaha meyakinkan peserta temasya yang tertangguh akibat pandemik itu masih terkawal.

Enam hari sebelum majlis pembukaan, penganjur berkata individu yang tidak didedahkan namanya itu didapati positif di Perkampungan Olimpik, di mana ribuan atlet dan pegawai akan berkampung sepanjang temasya.

"Terdapat seorang di Perkampungan. Ia adalah kes pertama dalam Perkampungan yang dilaporkan sepanjang proses saringan." kata jurucakap jawatan kuasa penganjur Tokyo, Masa Takaya pada sidang media.

"Ketika ini individu berkenaan sudah diasingkan di hotel." kata Takaya.

Media Jepun melaporkan individu positif berkenaan bukan warga tempatan.

Temasya itu mendapat bantahan masyarakat Jepun yang bimbang dengan gelombang baharu jangkitan.

Presiden Jawatankuasa Penganjur Olimpik Tokyo 2020, Seiko Hashimoto berkata, mereka bersedia bertindak sekiranya jumlah kes meningkat.

"Kami melakukan sebaik mungkin untuk menghalang sebarang penularan Covid-19. Jika terjadi juga, kami akan pastikan kami mempunyai rancangan sebagai tindak balas.

"Atlet yang hadir ke Jepun pasti sangat bimbang. Saya memahaminya. Disebabkan itu kami harus telus," kata Seiko.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 2:27 PM