SEORANG lelaki menggunakan penutup muka berikutan penularan wabak koronavirus melihat logo Sukan Olimpik di Tokyo. FOTO Reuters
SEORANG lelaki menggunakan penutup muka berikutan penularan wabak koronavirus melihat logo Sukan Olimpik di Tokyo. FOTO Reuters
AFP

TOKYO berisiko untuk kehilangan hak penganjuran Sukan Olimpik sekiranya ia ditangguhkan sehingga hujung tahun ini dengan jawapan muktamad perlu diketahui pada Mei.

Menteri Olimpik, Seiko Hashimoto memberitahu di parlimen bahawa Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) boleh menggugurkan hak penganjuran temasya itu jika ia tidak dilangsungkan pada tahun ini.

Kerajaan Jepun dan IOC sebulat suara bersetuju untuk temasya itu dilangsungkan mengikut jadual bermula 24 Julai depan tetapi penularan wabak koronavirus yang semakin meluas mencetuskan kebimbangan.

“Melihat kepada perjanjian kontrak, Artikel 66 menyatakan IOC mempunyai hak untuk membatalkan temasya sukan itu jika ia tidak dilangsungkan pada 2020,” katanya.

“Ketika ini, Jawatankuasa Tokyo 2020, IOC dan pihak kerajaan Tokyo sedang melakukan yang terbaik untuk memastikan Sukan Olimpik dapat dianjurkan bermula 24 Julai,” katanya lagi.

Wabak koronavirus sudah merebak ke 76 negara dan meragut 3,116 nyawa. Banyak acara sukan terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan untuk mengelak penularan wabak itu.

Hashimoto berkata, Mei adalah bulan yang penting untuk membuat keputusan sama ada temasya sukan itu akan dianjurkan atau sebaliknya.

“Anggota IOC sudah menyatakan penghujung Mei adalah tarikh terakhir untuk membuat keputusan,” katanya merujuk kepada kenyataan anggota kanan IOC, Dick Pound.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 9:02 PM