PEMAIN Croatia, Marin Cilic meraikan kemenangan ke atas pemain Rusia, Andrey Rublev untuk mara ke separuh akhir Terbuka Perancis, hari ini. FOTO REUTERS
PEMAIN Croatia, Marin Cilic meraikan kemenangan ke atas pemain Rusia, Andrey Rublev untuk mara ke separuh akhir Terbuka Perancis, hari ini. FOTO REUTERS
Reuters

Paris: Pemain Croatia, Marin Cilic mara ke separuh akhir Grand Slam kali pertama dalam tempoh empat tahun selepas menewaskan pilihan ketujuh dari Rusia, Andrey Rublev 5-7, 6-3, 6-4, 3-6, 7-6 (10-2) di suku akhir Terbuka Perancis, hari ini.

Cilic yang kali terakhir mara ke separuh akhir di Terbuka Australia 2018 berdepan kedegilan Rublev, tetapi 33 servis ace dilakukannya menjadi pemisah.

Selepas cemerlang menewaskan pemain nombor dua dunia, Daniil Medvedev, Cilic sekali lagi mempamerkan kekuatan servis untuk mara ke separuh akhir menentang pilihan kelapan dari Norway, Casper Ruud, pada Jumaat.

"Set kelima adalah pertarungan hebat. Andrey bermain dengan baik dan salah seorang pemain akan tersingkir...hari ini milik saya," kata Cilic, pilihan ke-20 yang akan bermain di separuh akhir kali pertama di gelanggang tanah liat Roland Garros.

"Ia adalah aksi penuh emosi kerana dia turut bermain dengan baik. Apabila anda bertarung dalam jangka masa panjang, pasti ada turun dan naik, jadi saya perlu kekal fokus," katanya selepas perlawanan berlanjutan lebih empat jam di gelanggang Philippe Chatrier.

Kemenangan itu membolehkan Cilic yang juga juara Terbuka Amerika Syarikat pada 2014 menyertai kelompok pemain seperti Novak Djokovic, Rafael Nadal, Roger Federer dan Andy Murray yang mara ke separuh akhir di semua empat acara Grand Slam.

Sementara itu, Ruud mengatasi pemain remaja, Holger Rune 6-1, 4-6, 7-6(2), 6-3 untuk muncul pemain Norway pertama mara ke separuh akhir Grand Slam.

"Sudah tentu, perlawanan ini memang mendebarkan. Sukar mencari ketenangan dan keselesaan," kata Ruud.

"Saya bermula dengan baik, tetapi Holger bangkit semula dan meningkatkan tahap permainannya.

"Saya sudah menentangnya tiga kali sebelum ini, ini aksi keempat kami dan saya fikir sudah tahu sedikit sebanyak cara dia bermain. Ini adalah hari yang besar untuk sukan tenis Norway."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 9:41 AM