NADAL tersingkir selepas tewas kepada Auger-Aliassime. FOTO EPA
NADAL tersingkir selepas tewas kepada Auger-Aliassime. FOTO EPA
AFP

Turin: Rafael Nadal berkata, dia 'sanggup mati' untuk mencapai tahap permainan tenis yang membolehkannya mencipta rekod memenangi 22 gelaran Grand Slam, selepas impiannya menjuarai Pusingan Akhir ATP kali pertama dan muncul pemain nombor satu dunia musnah, malam tadi.

Pemain Sepanyol berusia 36 tahun itu tewas 6-3, 6-4 kepada pemain Kanada, Felix Auger-Aliassime di Turin, selepas tewas perlawanan pembukaan kepada Taylor Fritz, Ahad lalu.

Untuk terus layak, Nadal mengharapkan Fritz mampu menewaskan Casper Ruud, tetapi apabila Ruud menang, ia bermakna Nadal tersingkir manakala pemain remaja senegaranya yang juga juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Carlos Alcaraz berpeluang menamatkan tahun ini sebagai pemain nombor satu dunia.

Ruud menewaskan Fritz 6-3, 4-6, 7-6 (8/6) untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir manakala Fritz berdepan Auger-Aliassime, esok untuk merebut tempat ke separuh akhir.

Nadal perlu menang kejohanan terakhir hujung tahun itu buat kali pertama untuk menambah koleksi trofi dalam karier gemilangnya, sekali gus menghalang Alcaraz muncul pemain nombor satu dunia.

"Maksudnya, saya tidak lupa cara bermain tenis dan bagaimana untuk memiliki kekuatan mental," kata Nadal yang bermain perlawanan perseorangan kali ketiga sejak Terbuka AS, September lalu.

"Saya hanya perlu mendapatkan semula perasaan positif itu dan semua keyakinan dan kekuatan mental yang diperlukan untuk mencapai tahap permainan diinginkan.

"Saya tidak pasti mampu mencapai tahap itu semula. Tapi, saya tidak ragu-ragu dan sanggup mati untuk mencapainya."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 10:28 AM