SKUAD berbasikal wanita sumbang pingat perak individu dan berpasukan. FOTO Fiz Said
SKUAD berbasikal wanita sumbang pingat perak individu dan berpasukan. FOTO Fiz Said
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Skuad berbasikal negara menamatkan kempen mereka di Sukan Sea Hanoi dengan meraih dua pingat perak menerusi acara lebuh raya individu dan berpasukan wanita, hari ini.

Nur Aisyah Zubir terlepas emas individu daripada pelumba Vietnam, Nguyen Thi That yang memenangi perlumbaan sejauh 88.5km itu dalam masa dua jam 13 minit dan 15 saat (s) dengan pelumba Indonesia, Delia Ayustina Priatna meraih pingat gangsa.

Malaysia turut meraih perak dalam kategori berpasukan dengan gabungan masa 6:42:15s. Pelumba lain dalam pasukan itu ialah Siti Nur Adibah Akma, Nur Aisyah Munirah Chek Ramli dan Ju Pha Som Net.

Adibah (+1:13s) dan Aisyah Munirah (+1:17s) masing-masing menduduki tempat keenam dan kelapan dalam acara individu manakala Ju Pha pula mengalami kemalangan di hujung perlumbaan.

Tuan rumah Vietnam memenangi emas kategori berpasukan dengan gabungan masa 6:42:11s manakala Thailand di tempat ketiga (6:43:48s). Perlumbaan lebuh raya lelaki yang berlangsung semalam tidak mempertandingkan kategori berpasukan.

Pengurus pasukan kebangsaan, Firdaus Arshad berkata, dia gembira melihat Aisyah memperoleh perak individu tetapi percaya mereka boleh mencabar emas jika Ju Pha tidak mengalami kemalangan.

"Kami bersyukur kerana memperoleh dua lagi perak pada hari terakhir pertandingan hari ini.

"Sangat gembira melihat Aisyah (Zubir) menamatkan perlumbaan dengan berusaha sebaik mungkin untuk meraih pingat perak.

"Kami bagaimanapun agak kecewa tidak memenangi emas kategori berpasukan kerana kami berpeluang melakukannya sehingga hujung perlumbaan sebelum Ju Pha mengalami kemalangan.

"Tetapi saya masih berpuas hati dengan prestasi keseluruhan kami di sini dalam acara berbasikal bukit dan lebuh raya," katanya.

Skuad berbasikal negara memenangi satu emas, satu perak dan satu gangsa menerusi acara berbasikal bukit dan satu emas dua perak serta dua gangsa dalam acara lebuh raya.

Malaysia hanya memenangi satu gangsa daripada sukan berbasikal pada Sukan Sea Manila 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 4:34 PM