Siti Nur Adibah meraikan kejayaannya di pentas podium. FOTO NST
Siti Nur Adibah meraikan kejayaannya di pentas podium. FOTO NST
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Pemenang pingat emas pertama Sukan Malaysia (Sukma) 2022, Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad terus memperagakan aksi cemerlang untuk meraih emas kedua peribadinya dalam acara lepas beramai-ramai perseorangan wanita, hari ini.

Pada perlumbaan yang berlangsung D'Tempat Country Club, Bandar Baru Sendayan, Negeri Sembilan itu menyaksikan pelumba dari Johor itu menamatkan perlumbaan dengan catatan masa terpantas iaitu 3 jam 18 minit dan 03.000 saat (s).

Manakala, pelumba dari Wilayah Persekutuan, Yeong Zhen Yi meraih perak selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 03:20:22.000s dan pingat gangsa dimenangi atlet Terengganu, Nor Aisyah Munirah Chek Ramli (03:23:45:000s).

"Saya tak sangka yang saya akan menjadi penyumbang emas kedua secara individu untuk Johor kerana di sepanjang perlumbaan, saya memang dijaga rapi oleh pelumba lain, namun rezeki menyebelahi dan saya berjaya melakukannya.

"Sebenarnya saya mengalami kecederaan semalam. Alhamdulillah sempat pulih dan semasa perlumbaan hari ini pun cuaca baik. Saya cuba fokus dan ketepikan rasa sakit itu. Apabila menang, hilang semua sakit," katanya Nur Adibah.

Esok, Nur Adibah dijadual menyertai acara kriterium di venue sama sebelum mengambil bahagian dalam acara trek yang akan berlangsung di Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan, bermula Isnin ini.

"Sasaran untuk individu itu tiga atau empat emas tetapi saya akan cuba selagi terdaya. Saya ada lagi acara kriterium esok dan selepas itu akan sertai acara trek iaitu kejar mengejar berpasukan, omnium, kejar mengejar individu dan perlumbaan scratch," katanya.

Selain memenangi acara individu, Nur Adibah turut membantu pasukan berbasikal Johor untuk meraih emas dalam acara lepas beramai-ramai berpasukan wanita bersama rakan sepasukan Nur Syafika Natasha Kadir, Noormastura Norman dan Haziatul Eiysa Suhardi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 2:50 PM