PELUMBA Ecuador, Richard Carapaz memenangi pingat emas berbasikal lebuh raya lelaki di Tokyo 2020, hari ini. FOTO EPA
PELUMBA Ecuador, Richard Carapaz memenangi pingat emas berbasikal lebuh raya lelaki di Tokyo 2020, hari ini. FOTO EPA
AFP

Tokyo: Pelumba Ecuador, Richard Carapaz menang pingat emas acara lebuh raya lelaki di Tokyo 2020, hari ini apabila taktikalnya menjadi untuk menamatkan perlumbaan mencabar sejauh 234 kilometer termasuk pendakian Grand Tour.

Ia adalah pingat emas kedua Ecuador di Sukan Olimpik selepas Jefferson Perez menang acara 50km jalan kaki di Atlanta 1996.

Pelumba Slovenia, Tadej Pogacar yang berhasrat muncul pelumba pertama menang dua acara besar dalam tahun sama selepas menjuarai Tour de France (TdF) 2021, sekadar menang gangsa menerusi penentuan 'photo finish' dengan pelumba Belgium, Wout van Aert, yang mendapat pingat perak.

"Ini detik luar biasa buat saya," kata Carapaz, 28.

"Anda harus sentiasa percaya kepada diri sendiri. Saya bekerja keras untuk berada di sini dan ini saat indah buat saya.

"Saya berterima kasih kepada rakyat Ecuador kerana menyokong saya dan secara jujurnya, memberikan dorongan utama."

Peloton dibarisi pelumba ternama bermula di Musashinonomori Park dalam situasi luar biasa apabila beribu-ribu penduduk berbaris di sepanjang laluan sambil memakai pelitup muka dan berpayung pada suhu 32 darjah Selsius.

Keseluruhan laluan itu mencatatkan pendakian setinggi 4,865 meter yang lebih mencabar berbanding peringkat pendakian gunung terhebat di TdF 2021 apabila Carapaz menduduki tempat ketiga.

Selepas upacara pembukaan tanpa kehadiran penonton di Stadium Olimpik dengan kapasiti 68,000, cukup melegakan apabila dapat melihat peminat berbaris di sepanjang laluan menghala ke Gunung Fuki - kemuncak tertinggi di Jepun dengan ketinggian 3,776 meter.

Pelumba Britain, Geraint Thomas yang muncul juara TdF 2018, tetapi terkehel bahu akibat kemalangan pada edisi kali ini dan tetapi berjaya menamatkan saingan, terpaksa menarik diri pada perlumbaan kali ini akibat terjatuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 6:14 PM