MOHD Arpan (empat dari kiri) bersama jurulatih serta pesilat negara pada sidang media di MSN Bukit Jalil, hari ini. FOTO /AMIRUL JOHARI
MOHD Arpan (empat dari kiri) bersama jurulatih serta pesilat negara pada sidang media di MSN Bukit Jalil, hari ini. FOTO /AMIRUL JOHARI
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Peraturan baharu akan digunakan sepenuhnya dalam acara pencak silat di Sukan Sea Hanoi, Vietnam, bulan depan bakal memberi peluang sama rata kepada semua pesilat untuk meraih pingat.

Pengurus pasukan negara, Datuk Mohd Arpan Sari berkata, peraturan baharu itu bakal memberi cabaran getir kepada semua pesilat termasuk pesilat negara yang disasarkan untuk memenangi tiga pingat emas.

"Kita tak tahu sejauh mana kekuatan lawan masing-masing kerana peraturan ini akan diguna pakai sepenuhnya buat kali pertama di Vietnam.

"Yang pasti peraturan baharu ini akan menjadikan persaingan lebih terbuka. Ia akan memberi cabaran kepada semua pesilat terutama pesilat negara kita," katanya pada sidang media di Majlis Sukan Negara, hari ini.

Sementara itu, penolong pengurus, Zaihan Mohd Isa pula berharap peraturan baharu itu akan memberi penjurian lebih adil yang tidak hanya memihak kepada pesilat tuan rumah semata-mata sahaja.

Jelasnya, isu penjurian berat sebelah kebiasaannya berlaku dalam acara silat seni, namun dengan adanya peraturan baharu, penjurian diharap dapat dilakukan lebih telus.

"Contohnya kalau dahulu lima juri digunakan, dalam peraturan baharu sekarang mereka menggunakan 10 juri. Peraturan tetap peraturan tetapi kami akan pastikan untuk cuba meminimumkan perkara yang boleh menimbulkan perkara tidak baik.

"Bagi silat olahraga pula, jika pesilat itu sudah meraih keputusan KO, saya rasa tak ada masalah untuk menang. Tapi jika kiraan 50-50, penjurian pasti akan berat kepada tuan rumah.

"Apa yang saya maksudkan ialah, jika pesilat kita jelas mampu beraksi dengan baik, maka kemenangan mereka tidak boleh dipersoalkan lagi," katanya.

Tiga tahun lalu di Filipina, skuad pencak silat negara meraih dua emas dan dua gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 6:49 PM