MEGAT Zulkarnain (tengah) akui sesiapa sahaja mampu memenuhi sasaran tujuh pingat emas. FOTO SAIFUL AFFENDY SAPRAN
MEGAT Zulkarnain (tengah) akui sesiapa sahaja mampu memenuhi sasaran tujuh pingat emas. FOTO SAIFUL AFFENDY SAPRAN
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Tujuh pingat emas disasarkan untuk skuad silat negara pada Kejuaraan Silat Dunia 2022 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh pada 26 hingga 31 Julai ini.

Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, sasaran itu adalah realistik mengambil kira kepada beberapa faktor.

"Saya sudah melihat barisan pesilat yang akan bertanding pada kali ini. Nampaknya semua pesilat terbaik dari seluruh dunia akan mengambil bahagian.

"Jadi kami mengambil keputusan untuk menyasarkan tujuh emas daripada 32 acara yang dipertandingkan.

"Saya merasakan peluang sama rata kepada semua negara-negara yang mengambil bahagian.

"Bagi skuad negara, sesiapa sahaja mampu memenuhi sasaran tujuh pingat emas itu," katanya pada sidang media hari ini.

Megat juga memberi jaminan penjurian akan dilakukan dengan adil tanpa mencetuskan kontroversi yang besar.

Malaysia akan diperkuatkan oleh juara dunia tiga kali, Al Jufferi Jamari yang berhasrat untuk menamatkan kariernya dengan gemilang sekali gus menjadikan kejohanan dunia ini sebagai pentas terakhir buatnya sebelum bersara.

Turut serta pesilat wanita negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir yang merangkul pingat perak pada temasya Sukan Sea di Hanoi, Vietnam baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 5:27 PM