SITI Nur Azwani raih gangsa acara kumite wanita bawah 61kg.
SITI Nur Azwani raih gangsa acara kumite wanita bawah 61kg.
Zaid Salim


Kuala Nerus: Atlet Terengganu yang memenangi kilauan pingat pada Sukan Sea ke-32 yang sedang berlangsung di Kemboja bakal menerima durian runtuh daripada Kerajaan negeri.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya berkata, durian runtuh berbentuk insentif tunai itu diberikan kepada atlet yang memenangi emas sebanyak RM4,000, perak (RM3,000) dan RM2,000 untuk gangsa.

Katanya, ganjaran itu adalah Skim Hadiah Kemenangan (SHAKE) selain insentif tambahan lain bagi atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan atau temasya berkenaan.

"Bagi acara berpasukan pula, pemenang pingat emas bakal menerima RM2,500, perak dan gangsa masing-masing RM2,000 dan RM1,500.

"Insentif ini sebagai suntikan semangat serta penghargaan kepada atlet, pegawai serta jurulatih yang telah mengharumkan nama Terengganu dan Malaysia di pentas tertinggi Asia Tenggara itu," katanya ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri MSNT, di sini, hari ini.

Turut hadir Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah dan timbalannya, Hishamuddin Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepuh.

Ahamd Shahrizal berkata, kerajaan negeri menaruh harapan besar untuk melihat atlet Terengganu memenangi kilauan pingat sekaligus membantu kontinjen negara mencapai sasaran di Kemboja.

Katanya, selain ganjaran pingat, semua 52 atlet termasuk pegawai dan pasukan kejurulatihan yang mewakili negara ke Sukan Sea 2023 Kemboja turut menerima insentif tunai RM1,000 seorang menerusi Skim Wakil Negara (SWARA).

Jelasnya, bagi temasya dwi tahunan di Vietnam tahun lalu, seramai 27 atlet dari negeri ini berjaya memenangi kilauan pingat dan menerima SHAKE berjumlah RM86,000.

"Bagi edisi kali ini, acara sukan seperti judo, berbasikal dan petanque yang disertai atlet dari Terengganu berpotensi menghadirkan pingat kepada kontinjen negara."

Setakat semalam, hanya atlet karate, Siti Nur Azwani Nor Azli yang secara rasmi memenangi pingat gangsa dalam acara kumite wanita bawah 61 kilogram.

"Selain itu acara seperti berbasikal yang diwakili tiga pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Azreen Nabila Alias (olahraga) dan banyak lagi masih belum beraksi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 5:34 PM