WAN Sukairi (tiga kiri) bergambar bersama atlet Terengganu yang beraksi di Sukan Sea 2023. FAIZUL AZLAN RAZAK
WAN Sukairi (tiga kiri) bergambar bersama atlet Terengganu yang beraksi di Sukan Sea 2023. FAIZUL AZLAN RAZAK
Faizul Azlan Razak


Kuala Nerus: Seramai 54 atlet Terengganu yang mewakili negara di Sukan Sea 2023, Phnom Penh menerima ganjaran menerusi Skim Wakil Negara (SWARA) dan Skim Hadiah Kemenangan (SHAKE) berjumlah keseluruhan RM136,000.

Atlet berbasikal, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki menjadi penerima terbanyak menerima insentif itu berjumlah RM8,000 diikuti atlet pencak silat, Muhammad Izzul Irfan Marzuki, Nur Aisyah Mohamad Zubir (berbasikal) masing-masing menerima RM5,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, seramai 36 atlet lelaki, 10 wanita, tujuh jurulatih dan seorang pegawai teknikal daripada 17 jenis sukan terpilih mewakili negara.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 30 orang atlet Terengganu daripada 13 sukan berjaya menyumbang pingat iaitu lima emas, lapan perak dan 13 gangsa.

"Kerajaan negeri memperuntukkan RM54,000 untuk insentif SWARA dan SHAKE sebanyak RM82,000 kepada pemenang pingat pada temasya Sukan Sea itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Apresiasi Atlet Terengganu Sukan Sea 2023 Phnom Pehn, Kemboja di Bilik Seminar Ar Riyadah Residence Asrama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) di sini, hari ini. Turut hadir, Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya.

Wan Sukairi berkata, pihaknya juga turut menyampaikan insentif SHAKE berjumlah RM29,900 kepada atlet berbasikal Terengganu.

Beliau berkata, atlet berbasikal berjaya memenangi tujuh pingat emas, dua perak dan tujuh gangsa dalam Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2023, Nilai Negeri Sembilan yang berlangsung pada 14 hingga 19 Mei lalu.

"Ganjaran yang diberikan kepada atlet ini sebagai penghargaan buat atlet dari negeri ini yang mewakili dan berjaya menyumbang pingat buat negara pada Sukan Sea lalu.

"Kita berharap dengan adanya insentif ini ia memberi semangat kepada atlet-atlet negara terutama dari negeri ini memberikan yang terbaik sukan yang disertai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 9:01 PM