AZIZULHASNI (tengah) bersama Atlet SUKMA Terengganu pada majlis penyerahan bendera Kontinjen Terengganu SUKMA XIX, Perak 2018 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak. -Foto GHAZALI KORI
AZIZULHASNI (tengah) bersama Atlet SUKMA Terengganu pada majlis penyerahan bendera Kontinjen Terengganu SUKMA XIX, Perak 2018 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak. -Foto GHAZALI KORI
Malik Muhamad


 

KUALA TERENGGANU: Jaguh berbasikal trek kebangsaan, Mohd Azizulhasni Awang yang menyumbang pingat emas buat kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 baru-baru ini mendapat habuan tertinggi daripada kerajaan negeri Terengganu, RM20,000 keseluruhan.

Pelumba kelahiran Dungun yang dikenali dengan jolokan The Pocket Rocketman itu memenangi pingat emas dalam acara pecut individu lelaki, perak dalam acara pecut berpasukan bersama Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis, serta gangsa dalam acara keirin.

“Kehadiran saya pada malam ini (semalam) juga diharapkan sedikit sebanyak dapat memberi semangat dan dorongan kepada semua atlet negeri yang bakal bertarung dalam SUKMA di Perak nanti,” kata Azizulhasni, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016.

“Selain itu saya turut mengharapkan sasaran 53 pingat emas dan muncul juara keseluruhan tercapai sebagaimana yang diidamkan kerajaan negeri dan MSNT.”

Turut menerima insentif daripada kerajaan negeri adalah pemain skuasy negara, Mohd Nafiizwan Mohd Adnan yang menerima RM12,000 selepas menghadiahkan satu emas dan satu gangsa serta pemain sepak takraw, Muhammad Zulkifli Abd Razak juga menerima insentif RM12,000 selepas membantu pasukan mengutip satu emas dan satu perak.

Empat pemain hoki negara yang berasal dari Terengganu - Faizal Saari dan adiknya Mohd Fitri serta Muhammad Firhan Ashari dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi masing-masing menerima insentif berjumlah RM5,000 seorang selepas membantu pasukan negara mengutip pingat perak.

Atlet pelayaran negara, Nuur Fatin Solehah Abdul Rahman dan Ilham Wahab turut menerima insentif RM3,000 setiap seorang selepas mengutip pingat gangsa dalam temasya Sukan Asia itu manakala jurulatih sepak takraw negeri, Ahmad Mohd Zain menerima  RM5,000.

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dalam majlis Penyerahan Bendera Kontinjen SUKMA Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, malam semalam.  

Dalam pentas Sukan Asia Jakarta Palembang itu, seramai 43 atlet kelahiran Terengganu terpilih mewakili negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 2:13 PM