RAYZAM mahu raih emas buat kali terakhir di Sukan Sea, Vietnam. -FOTO NSTP
RAYZAM mahu raih emas buat kali terakhir di Sukan Sea, Vietnam. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jaguh lari berpagar 110meter negara, Rayzam Shah Wan Sofian mahu melunaskan dendamnya pada temasya Sukan Sea Vietnam dengan memenangi pingat emas sebelum bersara sebagai atlet negara.

Hal ini kerana, emas yang sepatutnya dimenanginya pada temasya sama di Filipina pada 2019 seolah-olah telah 'dirompak' menerusi keputusan berat sebelah sekali gus terpaksa berpuas hati untuk pingat perak.

Rayzam berkata, ketika ini dia giat mempertingkatkan lagi kualiti larian kerana menyedari akan berdepan dengan cabaran lebih getir daripada negara lain.

Walaupun, pencapaian pada Terbuka Malaysia baru-baru ini kurang 'menyengat', namun dia tetap optimis mampu membawa kejayaan untuk negara apabila beraksi kali terakhir pada temasya Sukan Sea Vietnam Mei ini.

"Saya masih lagi mempunyai matlamat atau impian iaitu mahu merampas kembali pingat emas yang sepatutnya dimenangi pada 2019.

"Walaupun menyedari berdepan cabaran getir terutama kekurangan kejohanan kompetitif berikutan pandemik Covid-19 namun tempoh masa yang ada mampu memperbaiki kualiti larian seterusnya mencapai sasaran pada temasya itu.

"Berkaitan prestasi pula, pada Terbuka Malaysia baru-baru ini bukanlah ukuran sebenar kerana ada masalah lain terutama keadaan cuaca dan perkara itu akan diperbaiki lagi pada sesi latihan," katanya.

Mengikut rekod, pada Sukan Sea Filipina 2019, Rayzam kempunan mempertahankan at emas yang dimenanginya pada 2017,selepas meraih perak dalam aksi final 110 meter (m) lari berpagar.

Sebaliknya, kemenangan menjadi milik pelari tuan rumah, Clinton Kingsley Bautista yang melintasi garisan penamat dengan catatan masa 13.97 saat (s)

Apa yang memilukan, Rayzam hanya dipisahkan daripada kemenangan oleh keputusan 'photo finish' selepas turut mencatat kepantasan sama manakala gangsa diraih wakil Laos, Anousone Xaysa yang merakam 13.99s.

Atlet berasal dari Keningau, Sabah itu bakal mengakhiri karier sebagai atlet pada tahun ini apabila mahu bersara seterusnya memberi tumpuan kerjaya sebagai jurulatih olahraga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 2:53 PM