YUSOFF berkata keputusan PJS dan KBS meluluskan penubuhan MSC sebenarnya bukanlah jalan penyelesaian. FOTO NSTP
YUSOFF berkata keputusan PJS dan KBS meluluskan penubuhan MSC sebenarnya bukanlah jalan penyelesaian. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Bekas Setiausaha Agung dan juga pengasas Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Tan Sri Mohd Yusoff Latiff meminta campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya mengiktiraf badan induk itu sebagai persatuan tunggal yang menguruskan sukan sepak takraw di negara ini.

Jelas Mohd Yusoff, campur tangan Perdana Menteri sangat penting demi menyelamatkan PSM yang kini terancam susulan tindakan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) meluluskan penubuhan Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Saya dengan rendah hati meminta Datuk Seri supaya mengkaji semula keputusan yang dibuat oleh Pesruruhjaya Sukan, Ibrahim Mohd Yusof dan tindakan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang meluluskan penubuhan Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) pada awal Januari lalu.

"Keputusan PJS dan KBS meluluskan penubuhan MSC sebagai sebuah lagi badan sukan sepak takraw kebangsaan sebenarnya bukanlah jalan penyelesaian mengatasi konflik antara PSM dengan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

"Malah ia akan mengundang konflik baharu pula dikalangan persatuan-persatuan sepak takraw peringkat negeri seterusnya boleh memalapkan arena sukan sepak takraw negara.

"Perlu disedari bahawa dalam masa kewujudan MSC ini, PSM masih wujud dan sehingga kini ia adalah sebuah persatuan yang sah disisi undang-undang serta mempunyai objektif untuk melahirkan atlet sepak takraw negara serta masih diiktiraf sebagai Ahli Gabungan sah Majlis Olimpik Malaysia (MOM)," katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau lagi, kewujudan dua entiti itu bukan sahaja mengelirukan atlet sepak takraw, malah lebih parah lagi apabila persatuan sepak takraw negeri berpecah kerana menyertai badan gabungan yang berbeza.

"Saya menyifatkan tindakan PJS dengan sokongan Datuk Seri Ahmad Faizal meluluskan MSC hanya untuk 'membunuh' PSM. Ini kerana apabila MSC diterima menjadi ahli gabungan Astaf, maka ia akan menjejaskan peluang PSM untuk bergabung semula dengan Astaf," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2022 @ 10:38 PM