AFP

Melbourne: Novak Djokovic sekali lagi ditahan di Australia selepas pihak berkuasa membatalkan visanya buat kali kedua dan mengisytiharkan bintang tenis yang enggan mengambil vaksin itu sebagai ancaman kepada umum.

Dokumen mahkamah menunjukkan bintang Serbia berusia 34 tahun itu kini ditahan di Melbourne, ketika rayuannya terhadap pengusirannya akan didengar.

Hanya dua hari sebelum bermulanya Terbuka Australia, pemain nombor satu dunia itu sekali lagi terpaksa menumpukan kepada proses mahkamah berbanding tumpuan di atas gelanggang.

Menteri Imigresen, Alex Hawke kini mendakwa kehadiran berterusan Djokovic di negara itu boleh 'memupuk sentimen anti-vaksinasi' malah mencetuskan 'peningkatan pergolakan awam'.

NOVAK Djokovic. FOTO EPA
NOVAK Djokovic. FOTO EPA

Djokovic dipanggil menghadap pegawai imigresen di Melbourne menjelang perbicaraan di Mahkamah Persekutuan pada hari ini dan esok.

Ia adalah percubaan kedua oleh kerajaan Australia untuk menghantar pulang Djokovic, salah seorang individu berprofil tinggi yang anti vaksin Covid-19.

Bintang berusia 34 tahun itu yang menggunakan alasan pengecualian perubatan untuk memasuki Australia awal bulan ini, berharap dapat memenangi gelaran Grand Slam ke-21.

Di tengah-tengah bantahan awam, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Scott Morrison membatalkan visa Djokovic semasa ketibaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 10:10 AM