NOVAK Djokovic ketika beraksi di Dubai.FOTO AFP
NOVAK Djokovic ketika beraksi di Dubai.FOTO AFP
AFP

Dubai: Nick Kyrgios percaya Novak Djokovic perlu beraksi 'walau apa juga situasi' dan gembira bintang Serbia itu dibenarkan kembali ke Australia untuk tampil dalam saingan pembuka tirai Grand Slam musim ini di Melbourne bulan depan.

Djokovic dilarang memasuki Australia sebelum dihantar pulang awal tahun ini kerana keengganannya untuk mengambil vaksin Covid-19.

Bagaimanapun, ketetapan itu sudah diketepikan dan pemenang 21 gelaran utama itu berpeluang untuk bersaing merebut gelaran Terbuka Australia kali ke-10.

Kyrgios adalah antara pemain paling lantang menyokong Djokovic semasa kemelut pengusirannya Januari lalu dan pemain nombor 22 dunia dari Australia itu merasakan kehadiran pemain berusia 35 tahun itu penting pada setiap acara.

"Saya rasa Novak perlu bermain walau apa juga keadaan. Dia antara yang terhebat sepanjang zaman dan selagi dia menjadi tumpuan, kita memerlukannya di kejohanan ini," kata Kyrgios kepada AFP di Liga Tenis Dunia dekat Dubai.

Ketiadaan Djokovic dalam dua daripada empat kejohanan utama pada 2022 kerana status vaksinasinya memberi laluan kepada bakat muda untuk menyerlah.

Sensasi baharu Sepanyol, Carlos Alcaraz merangkul gelaran Grand Slam sulung di Terbuka Amerika Syarikat (AS) sekali gus muncul pemain nombor satu dunia termuda dalam sejarah ATP.

"Saya fikir, sebagai pesaing, saya mahu melihatnya beraksi," kata Kyrgios mengenai Djokovic.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 8:41 AM