Datuk SM Muthu
Datuk SM Muthu
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Olahraga Selangor (POS) Datuk SM Muthu sedia 'menyahut' saranan Pesuruhjaya Sukan (PJS) supaya mengadakan perbincangan bersama pihak tertentu dalam usaha menyelesaikan kemelut melanda badan induk olahraga negeri itu.

Muthu yang juga Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berkata, ketika ini semua pihak seharusnya menghormati keputusan atau kenyataan yang dikeluarkan PJS bagi mengelak isu melanda POS bertambah buruk.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kelak dengan semua pihak boleh memilih kepimpinan baharu sekali gus merungkai segala kecelaruan yang berlaku dalam POS.

"Sekarang ini semua tertanya-tanya siapa yang betul atau salah… Saya tidak mahu cakap soal itu kerana mereka seharusnya tunggu sehingga kita membuat mesyuarat (AGM).

"PJS sudah kata AGM yang diadakan pada 12 Disember lalu tidak sah. PJS juga ada memberi cadangan sebelum ini namun pihak berkenaan tidak mahu ikut," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan kem POS kucar kacir apabila AGM yang 12 Disember lalu tidak sah.

Justeru kepimpinan yang dilantik pada AGM terbabit tidak terpakai sekali gus timbul tanda tanya siapa sebenarnya yang menerajui badan induk olahraga negeri itu.

Mengulas lanjut berkaitan situasi berkenaan PJS Ibrahim Mohd Yusof berkata, pihaknya sudah melakukan semakan terhadap laporan dan dokumen AGM itu sekali gus mendapati ia dilaksanakan secara tidak teratur.

Sementara itu, Arena Metro menghubungi Presiden POS Norhayati Karim untuk mendapatkan reaksi berkaitan situasi berkenaan namun beliau enggan mengulas lanjut dan akan memberikan kenyataan dalam masa terdekat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 6:22 PM