Emma Raducanu. FOTO Agensi
Emma Raducanu. FOTO Agensi
Agensi

Paris: Emma Raducanu, 18, akan menjalani latihan bersama bekas jurulatih Johanna Konta, Esteban Carril.

Juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) itu sebelum ini menjalani beberapa latihan percubaan dengan warga Sepanyol itu ketika dia berusaha meningkatkan prestasi seterusnya melangkah ke peringkat seterusnya dalam karier profesional.

Andrew Richardson melatih Emma untuk menjulang kejuaraan di New York namun kontrak jangka pendeknya tidak dilanjutkan.

Carril memainkan peranan besar ketika membantu Johanna melonjak dalam kelompok 10 Teratas dunia selepas menempatkan diri dalam kelompok 100 teratas.

Ia adalah kejutan besar selepas kedua-dua pihak mengakhiri kerjasama pada 2016, tahun di mana Johanna berjaya mara ke separuh akhir pertama Grand Slam di Terbuka Australia dan memenangi gelaran pertama WTA di California.

Carril berterusan dikaitkan dengan sukan tenis di Britain sejak itu. Dia bekerja di Akademi Nasional LTA di Stirling, dan melatih pemain Britain, Katie Swan, 22.

Emma pemain Britain yang mencipta sejarah tenis apabila menjadi pemain pertama kelayakan memenangi kejuaraan Grand Slam di Terbuka AS bulan lalu.

Dia dijangka membuat persediaan untuk menyertai kejohanan Terbuka Transylvania dekat Romania, Isnin minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 10:14 AM