Joanna Konta ketika beraksi di Wimbledon. FOTO Agensi
Joanna Konta ketika beraksi di Wimbledon. FOTO Agensi
Agensi

London: Johanna Konta berdepan dilema mengenai masa depannya untuk tempoh dua tahun akan datang sama ada memilih untuk terus bermain tenis atau bersara bagi memulakan hidup baharu bersama keluarga.

Bintang tenis wanita nombor satu Britain itu kini menjalani latihan pra musim sambil menunggu perkhabaran mengenai tarikh permulaan Terbuka Australia 2021.

Johanna yang akan usia 30 tahun pada Mei ini percaya dia mampu menang kejuaraan Grand Slam tetapi mempunyai sasaran masa depan di luar gelanggang, selain menetapkan penghujung landasan WTA 2022 adalah tempoh penting.

Pemain nombor 14 dunia itu berkata: "Saya sangat bermotivasi, terinspirasi dan teruja untuk beraksi.

"Saya 100 peratus tidak memikirkan untuk berhenti dalam beberapa tahun lagi.

"Bagaimanapun saya tetap terbuka dengan apa sahaja yang diterima dalam kehidupan ini.

"Saya menjalani latihan untuk musim depan dan melihat diri sendiri yang pasti boleh beraksi beberapa tahun lagi.

"Kemudian baharu saya akan mendengar gerak badan, kata hati dan jiwa, untuk langkah seterusnya."

Johanna berkerja sama semula dengan bekas jurulatih Perancis, Dimitri Zavialoff iaitu individu yang menjadi perancang penting bagi musim 2019 yang menyaksikan dia mara ke separuh akhir di Paris dan kelompok lapan terakhir di Wimbledon dan New York.

Di sebalik bakal beraksi di Wimbledon musim panas akan datang, sasaran terbesarnya adalah saingan Olimpik Tokyo 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2020 @ 1:25 PM