LEO (kiri) secara bersahaja melamar Emma. FOTO Agensi
LEO (kiri) secara bersahaja melamar Emma. FOTO Agensi
Hamdan Saaid


London: Video seorang budak lelaki yang berjaya menarik perhatian bintang tenis wanita Emma Raducanu dengan lamaran untuk berkahwin semasa perlawanan November lalu muncul semula dan menjadi tular baru-baru ini.

Pemain berusia 19 tahun itu, yang memenangi gelaran tenis perseorangan wanita pada Terbuka Amerika Syarikat tahun lalu, sedang beraksi pada satu perlawanan pertunjukan di Royal Albert Hall, London apabila dia mendengar seseorang dari tempat duduk berteriak, "Emma, sudikah awak berkahwin dengan saya?"

Lamaran itu dilontarkan budak lelaki berusia tujuh tahun Leo Gomez-Franqueira, peminat tenis muda dan seorang budak genius dari London.

Emma seketika menghentikan pukulan servisnya dan mengukir senyuman ke arah budak lelaki itu. Detik menarik itu, yang dirakam dalam video yang kini tular, menggembirakan orang ramai dan boleh didengari dengan jelas penonton berkongsi ketawa dengan lamaran itu.

Walaupun video itu dimuat naik di Instagram budak lelaki itu pada November lalu, baru-baru ini ia tular semula selepas dikongsi oleh pengguna media sosial merentasi pelbagai platform atas talian.

Gomez-Franqueira mencuri tumpuan sebelum ini kerana dikatakan mempunyai IQ lebih tinggi berbanding Albert Einstein.

Dia berjaya menyelesaikan ujian kecerdasan piawai pada usia dua tahun dan meraih markah paling tinggi dalam dua peratus teratas populasi umum, menjadikannya ahli termuda Mensa, masyarakat IQ tinggi terbesar di dunia.

Budak lelaki itu, yang mampu bertutur lima bahasa, lulus ujian kecekapan bahasa Cina tahap tiga HSK dengan markah sempurna 300 ketika dia baru berusia enam tahun.

Emma, 19, yang dilahirkan di Toronto, Kanada tetapi dibesarkan di London, kini pemain wanita nombor satu Britain yang menghuni ranking ke-12 dunia.

Dia muncul pemain wanita pertama Britain menang gelaran Grand Slam selepas 44 tahun apabila menjuarai Terbuka AS di New York, September lalu dengan menundukkan pemain muda Kanada, Leylah Fernandez. Lebih menakjubkan, dia muncul juara selepas beraksi tiga perlawanan pada pusingan kelayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 12:28 PM