EMMA menjadi pemain pertama dari kelayakan mara ke separuh akhir Terbuka AS. FOTO AFP
EMMA menjadi pemain pertama dari kelayakan mara ke separuh akhir Terbuka AS. FOTO AFP
AFP

New York: Sensasi tenis Britain berusia 18 tahun, Emma Raducanu menjadi pemain pertama dari peringkat kelayakan mara ke separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas mengalahkan juara Olimpik Tokyo, Belinda Bencic 6-3, 6-4.

Emma, pemain keempat dari peringkat kelayakan yang mara ke separuh akhir Grand Slam, menjadikan wakil Switzerland yang juga pilihan ke-11 sebagai mangsa terbarunya untuk mencipta sejarah di New York.

"Ia perlawanan yang sangat sukar. Saya berasa lega dapat melepasinya," kata Emma.

Emma pemain yang menduduki ranking ke-150 dunia, yang tidak tumpas dalam mana-mana set, seakan hilang kata-kata selepas dia menjadi pemain Britain nombo satu dan berjaya melakar sejarah di New York.

"Saya sebenarnya tidak tahu untuk menjelaskan mengenai sebarang rekod. Ia adalah kali pertama saya mendengar bahawa saya adalah pemain pertama dari kelayakan mara ke separuh akhir. Sebelum itu saya tidak tahu mengenai perkara ini.

"Saya ke sini bukan untuk mengejar rekod. Saya hanya cuba untuk bermain sebaik mungkin termasuk pada perlawanan akan datang," katanya.

Selepas ini Emma akan berdepan pilihan ke-17 dari Greece, Maria Sakkari buat kali pertama, selepas lawannya itu menumpaskan pilihan keempat dari Republik Czech, Karolina Pliskova 6-4, 6-4.

Maria yang kali pertma mara ke separuh akhir Grand Slam di Terbuka Perancis Jun lalu, juga berjaya mengetepikan juara Terbuka AS 2019, Bianca Andreescu, pilihan keenam dari Kanada dan pilihan ke-10 yang juga wakil Czech, Petra Kvitova untuk mencatatkan aksi terbaiknya di Grand Slam.

"Ia sangat bagus untuk sukan ini. Kami mempunyai ramai pemain muda wanita yang beraksi dengan cemerlang setakat ini. Saya sentiasa mempercayai diri sendiri dan juga corak permainan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 11:27 AM